Lapan keluarga terima rumah Terengganu Sejahtera

- Advertisement -

MARANG: Seramai lapan keluarga menerima kunci rumah baharu pada Majlis Penyerahan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) Taman Rahmat, Pulau Kerengga.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada semua penerima projek fasa ketiga itu.

Menurut beliau, projek di Taman Rahmat Fasa 3 telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada tahun 2020 dengan peruntukan berjumlah RM700,000.

“Projek ini telah dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Marang melibatkan pembinaan lapan unit rumah semi-D bernilai RM140,000.00 untuk kerja-kerja tanah dan RM560,000.00 untuk kerja-kerja pembinaan rumah.  

“Setiap rumah dilengkapi dengan  kemudahan satu ruang tamu, tiga bilik tidur, satu bilik air dan ruang dapur termasuk paip asas dan bekalan elektrik.  

“Semoga semua penerima dapat menjaga rumah ini dengan baik sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis, semalam.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, Pusat Khidmatnya akan turut membantu menyediakan tikar getah untuk semua penerima bagi memastikan mereka menikmati keselesaan di rumah baharu masing-masing.

Untuk rekod, projek itu telah siap sepenuhnya pada November 2023. Projek PPTS bagi Fasa 1 dan 2 telah siap dibina dan telah didiami sebanyak 20 unit rumah sebuah.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Samiun Salleh berkata, pembinaan perumahan secara berkelompok yang lebih selesa di kawasan tersebut bertujuan menjamin kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dan mempunyai masalah tempat tinggal seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal bermasalah. – HARAKAHDAILY 4/11/2024