Lagenda Mat Raya dan Mat Chincang gamit pelancong

- Advertisement -

SEBUT sahaja Langkawi, semua orang pasti mengenal daerah kepulauan itu yang terletak di Kedah.

Langkawi sememangnya terkenal dengan pelbagai perkara yang menarik perhatian pelancong. Sama ada kawasan peranginan yang cantik, makanan lazat, produk pelancongan menarik dan tidak terkecuali dengan kisah lagendanya yang ‘tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan’.

Pulau Lagenda itu bukan sahaja menyimpan kisah wanita jelita bernama Mahsuri yang teraniaya serta dibunuh kerana hasad dengki dan khianat.

Ada yang mengatakan kisah Mahsuri itu benar-benar berlaku lantaran terdapat kesan, pusara dan lain-lain berkaitan, namun tidak dinafikan kemungkinan kisah itu ditokok tambah dari generasi ke generasi sehingga mencipta sebuah lagenda.

Terdapat lagi kisah menarik yang dikaitkan penduduk Langkawi dahulu kala iaitu Gunung Mat Chincang dan Mat Raya.

Lagenda Mat Raya dan Mat Chincang

Kebanyakan pelancong yang datang ke Langkawi, pastinya tidak melepaskan peluang menaiki kereta kabel dan ‘Sky Bridge’.

Kereta kabel Langkawi ini membawa pelancong ke puncak Gunung Mat Chincang yang setinggi 713 meter iaitu 2,339 kaki di mana di puncak gunung ini pengunjung boleh melihat panorama indah pulau Langkawi dan Laut Andaman.

Namun, tidak ramai yang mengetahui, Gunung Mat Chincang itu sendiri mempunyai pelbagai kisah menarik yang menurut legenda daripada kisah gunung inilah dikatakan banyak tempat di pulau itu mendapat namanya.

Mat Chincang dan Mat Raya sahabat baik

Dikisahkan, Mat Chincang dan Mat Raya merupakan sahabat baik yang tinggal di sebuah kampung yang kononnya dihuni oleh keluarga gergasi.

Pergaduhan kedua sahabat baik ini mula terjadi apabila anak perempuan Mat Raya hendak ditunangkan dengan anak lelaki Mat Chincang. Namun, kenduri pertunangan itu bertukar menjadi pertengkaran apabila anak lelaki Mat Chincang dikatakan mempunyai hubungan dengan anak dara lain.

Hari bahagia itu bertukar menjadi huru-hara, Mat Chincang dan Mat Raya pun mula bergaduh sehingga dikatakan pergaduhan itu telah menghasilkan nama-nama kawasan di sekitar Langkawi.

Mat Chincang dan Mat Raya bergaduh

Akibat pergaduhan itu sebuah bekas memasak air telah pecah dan air panas itu tumpah menjadi sebuah perigi air panas di kawasan yang kini disebut sebagai Ayer Hangat.

Keduanya mengamuk sehinggakan peralatan yang digunakan untuk memasak juga habis berterbangan.

Salah satu belanga besar telah tercampak dan pecah di tempat yang kini dikenali sebagai Kampung Belanga Pecah, manakala kuah yang mengalir daripada belanga pecah itu sampai ke sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Pekan Kuah.

Sementara tempat di mana kuah gulai itu meresap dikenali sebagai Kisap. Hebat betul pergaduhan dua gergasi ini.

Dalam pada itu, cincin pertunangan anak mereka juga telah dibuang lalu jatuh ke sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Tanjung Cincin.

Apa terjadi pada Mat Chinchang dan Mat Raya?

Pertengkaran antara kedua-dua gergasi ini tidak nampak tanda akan surut, malah keadaan semakin tidak terkawal, lalu datang Mat Sawar, gergasi ketiga yang cuba menjadi orang tengah untuk meleraikan pergaduhan mereka.

Ada versi mengatakan Mat Chincang dan Mat Raya telah bertukar menjadi gunung sewaktu pertengkaran mereka sedang berada di kemuncak.

Ada pula versi menyebut kedua-dua gergasi ini telah sedar akan kesalahan mereka dan kerosakan yang ditimbulkan, lalu bertukar menjadi gunung untuk menebus kesalahan mereka.

Mat Chincang dikatakan bertukar menjadi gunung yang hari ini dikenali sebagai Gunung Mat Chincang, iaitu tempat terletaknya ‘Sky Bridge’ yang popular di Langkawi, sementara Mat Raya bertukar menjadi Gunung Raya.

Manakala Mat Sawar yang menjadi orang tengah untuk meleraikan mereka berdua bertukar menjadi Bukit Sawar yang terletak di antara kedua gunung tersebut.

Terdapat fahaman mengatakan Bukit Sawar berada di tengah-tengah kedua gunung ini untuk menjamin agar keadaan sentiasa aman dan tidak lagi timbul pergaduhan antara kedua-dua gergasi itu.

Kisah lagenda

Kisah tersebut merupakan lagenda yang secara tidak langsung mempunyai kesan sejarah yang agak penting di Pulau Langkawi.

Gunung Mat Chincang merupakan gunung kedua tertinggi di Langkawi dan juga gunung tertua di Asia Tenggara serta dinobatkan sebagai Tapak Bersejarah Dunia oleh UNESCO

Sungguhpun kisah dua gergasi Mat Chincang dan Mat Raya itu seolah-olah tidak masuk akal terutama di zaman canggih ketika ini, namun itulah sebenarnya hiburan masyarakat dahulu yang lebih kepada mendengar sesuatu kisah dari mulut ke mulut.

Kisah penglipur lara seumpama itu, sebenarnya mampu menjadi hiburan santai khususnya pelancong luar Langkawi.

Kalau dilihat kepada bentuk Gunung Mat Chincang dan Mat Raya, ia memang seolah-olah ada berbentuk seperti manusia, termasuk tempat-tempat yang dikatakan terjadi akibat pergaduhan dua rakan baik itu.

Walau bagaimanapun, Langkawi yang unik dengan kisahnya tersendiri, pastinya menjadi destinasi pilihan pelancong dalam mahupun luar negara terutama menjelang Tahun Melawat Kedah 2025 nanti. – HARAKAHDAILY 4/11/2024

- Advertisement -