ESOK (Selasa), dijangka selesai semua Ahli Parlimen berbahas pada peringkat dasar di Dewan Rakyat, bagi Belanjawan Malaysia 2025 setelah ia dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lepas.
Belanjawan kali ini bagi tahun 2025 berjumlah RM421 bilion, peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara, ketimbang RM393.8 bilion untuk belanjawan 2024, RM388.1 bilion (2023) dan RM332.1 bilion (2022).
Adakah ia sesuatu yang luar biasa untuk mencatat peruntukan belanjawan tertinggi dalam sejarah? Kita bincangkan dalam rencana ini.
Pada dasarnya ada tiga jenis belanjawan yang boleh diaplikasikan oleh kerajaan. Yang pertama belanjawan surplus, iaitu belanjawan yang menyasarkan hasil lebih besar daripada perbelanjaan.
Contohnya jangkaan hasil RM100 billion, tetapi anggaran perbelanjaan yang disasarkan ialah RM90 bilion. Ini bermakna kerajaan akan mendapat lebihan sebanyak RM10 bilion.
Jenis yang kedua ialah belanjawan berimbang iaitu belanjawan yang menyasarkan jumlah hasil yang bakal diperolehi adalah sama dengan jumlah perbelanjaan yang akan dibuat.
Contohnya, jangkaan hasil RM100 billion, manakala anggaran perbelanjaan yang disasarkan ialah RM100 bilion juga. Ini bermakna tiada lebihan dan tiada defisit.
Jenis ketiga ialah Belanjawan Defisit iaitu belanjawan yang menyasarkan jumlah perbelanjaan melebihi pendapatan. Ini bermakna hasil yang diperolehi tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan.
Contohnya, kerajaan menjangkakan hasil sebanyak RM90 bilion tetapi kerajaan mahu berbelanja RM100 bilion. Ini bermakna kerajaan perlu berhutang sebanyak RM10 bilion.
Jika kerajaan menggunakan pendekatan ini, bermakna kerajaan perlu berhutang untuk menampung kekurangan itu. Kerana itu ia dipanggil belanjawan defisit.
Bagaimanakah sesebuah kerajaan akan memilih jenis belanjawan bagaimana yang akan mereka aplikasikan dalam bajet yang bakal mereka bentang?
Sama ada menggunakan belanjawan defisit, berimbang atau surplus, ia bergantung kepada objektif yang ingin dicapai oleh sesebuah kerajaan berdasarkan keperluan semasa.
Sebagai contoh sewaktu berlaku Covid-19 dahulu, hampir semua negara berhadapan dengan masalah kewangan. Pada waktu itu kegiatan ekonomi terbantut kerana terhalang pergerakan.
Namun, dalam masa yang sama kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk membeli vaksin dan membantu rakyat yang hilang pendapatan.
Maka, pada waktu itu kerajaan tiada pilihan melainkan menggunakan kaedah belanjawan defisit. Oleh kerana hasil kerajaan berkurangan sedangkan perbelanjaan membesar, maka kerajaan terpaksa berhutang.
Bukan keperluan catat belanjawan tertinggi dalam sejarah
Sebenarnya ia bukan sesuatu keperluan untuk mencatat belanjawan dengan peruntukan belanjawan tertinggi setiap masa. Ia bergantung kepada objektif atau pun prinsip yang dipegang oleh sesebuah parti yang mentadbir kerajaan.
Sebagai contoh, jika kerajaan manitikberatkan kepada strategi ‘fiskal mengembang’ untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan asal, maka kerajaan boleh meningkatkan peruntukan belanjawan. Ia biasanya bagi situasi negara yang baru keluar dari krisis kemelesetan ekonomi.
Sekiranya parti kerajaan yang memerintah itu menitikberatkan untuk mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan, maka mereka boleh menggunakan strategi mengurangkan perbelanjaan untuk mengurangkan hutang.
Adakah kita masih ingat zikir parti kerajaan sekarang ini PH sewaktu mereka jadi pembangkang? “Negara nak bankrupt! Hutang berbiliyun-biliyun…”
Itu yang banyak kita dengar semasa pemerintahan BN di bawah pemerintahan Dato’ Sri Najib Razak yang diserang teruk PH akibat skandal 1MDB.
Masa itu pada tahun 2018, hutang kerajaan adalah RM686 billion, dikatakan negara nak bankrupt. Sekarang hutang kerajaan sudah pun meningkat kepada RM1,227.48 bilion. Tetapi pada masa ini katanya ekonomi sangat baik.
Kata mereka dahulu, jika mereka jadi kerajaan mereka nak kurangkan hutang. Bila sudah jadi kerajaan mereka bukan nak kurangkan hutang, tetapi mereka menambah hutang dalam jumlah yang berkurangan daripada tahun sebelumnya. Tetapi hutang tetap bertambah.
Jumlah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada hakikat peratusannya semakin meningkat. Pada tahun 2019 hutang Persekutuan berbanding KDNK ialah 52 peratus; 2020 (62.2); 2021 (63.4); 2022 (60.4); sementara 2023 (64.3).
Matlamat untuk mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan berbanding mencatat peruntukan belanjawan tahunan tertinggi biasanya akan berada dalam situasi berlawanan.
Jika kerajaan mempunyai matlamat untuk mengurangkan hutang kerajaan, maka kerajaan terpaksa memilih belanjawan surplus atau berimbang yang tidak memungkinkan kerajaan mencatat belanjawan tertinggi.
Jika kerajaan mahu menjadi juara mencatat belanjawan dengan ‘peruntukkan tertinggi dalam sejarah’ maka sukar untuk mereka mencapai matlamat mengurangkan hutang kerajaan.
Namun, ia boleh dilakukan jika dan hanya jika kerajaan mampu mencatat peningkatan yang luar biasa dalam pendapatan pada tahun itu sehingga mampu menampung peruntukan yang tinggi tanpa berhutang.
Tetapi, jika kita melihat kepada laporan kewangan kerajaan pada tahun-tahun sebelum ini sangat sukar untuk kerajaan meningkatkan peruntukan dalam keadaan pendapatan meningkat dengan kadar yang lebih tinggi.
Jika kita lihat pada lima tahun ke belakang ini pun terbukti kerajaan sentiasa berada dalam situasi defisit lebih-lebih lagi sewaktu dunia dilanda Covid-19.
Kita juga boleh lihat pada waktu ini memang tidak ada keperluan mendesak untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan sekiranya kerajaan benar-benar komited untuk mengurangkan kadar hutang kerajaan seperti yang mereka perjuangkan sekian lama.
Mencatat peruntukan belanjawan tertinggi dalam sejarah hanya benar-benar hebat sekiranya ia dapat dilakukan dengan peningkatan dalam hasil dalam situasi belanjawan berimbang atau surplus.
Jadi, bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mencatat peruntukan belanjawan tertinggi setiap tahun sekiranya ia hanya akan meningkatkan lagi hutang Kerajaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 4/11/2024