KOTA BHARU: Sebanyak RM16,001 berjaya dikumpul untuk sumbangan kepada rakyat Palestin sempena program Ijtimak Tarbawi 10.0 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), semalam.
Jumlah berkenaan termasuk beberapa rantai hasil sumbangan muslimat untuk didermakan kepada masyarakat Palestin yang kini sedang dizalimi oleh rejim Zionis-Israel.
Pengarah Ijtimak Tarbawi 10.0, Mohd Irsyad Shafiq Burhanuddin, ketika ditemui memberitahu, mungkin jumlah berkenaan dianggap tidak begitu besar, namun ia mempunyai erti yang cukup bermakna sebagai bukti solidariti terhadap Palestin oleh peserta ijtimak.
Jelasnya, kehadiran tokoh Palestin, Ketua Multaqa Syabab Alam Islami, Dr Asyraf Iwadh yang memberi maklumat terkini berkaitan Palestin telah menyentuh hati peserta Ijtimak Tarbawi dari seluruh negara.
“Solidariti Palestin sempena program ini cukup berbeza dengan ijtimak sebelumnya kerana tahun ini kita selitkan solidariti untuk Palestin.
“Ia juga sebagai bukti umat Islam di Malaysia sentiasa menyokong mereka dan bukan isu bermusim,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan berakhir petang semalam.
Tambahnya, isu Palestin adalah isu dunia dan kemanusiaan yang turut ditangani oleh masyarakat seluruh dunia.
Menyentuh berkenaan program Ijtimak Tarbawi 10.0, beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu berkata, sambutan peserta pada program berkenaan amat menggalakkan.
Katanya, lebih 5,000 peserta seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak hadir pada program tahunan itu.
Jelasnya, program dua hari yang berlangsung pada 1 dan 2 November itu menepati sasaran khususnya untuk anak muda memantapkan ilmu dan fikrah mereka pada perjuangan.
“Walaupun program ini dianjurkan Dewan Pemuda PAS Pusat, namun demi kekuatan jemaah dan penyatuan fikrah perjuangan, kita turut mengundang muslimat muda untuk hadir pada program ini,” ujarnya.
Tambahnya, dengan pengisian diadakan khususnya berkaitan tajuk yang berat telah dibentangkan oleh pimpinan, akan memberi natijah baik pada perjuangan untuk masa akan datang. – HARAKAHDAILY 3/11/2024