Lestari alam sekitar perlu peranan semua pihak

- Advertisement -

PASIR PUTIH: Kerajaan negeri berusaha melestarikan alam sekitar menerusi pelbagai cara agar ianya dapat dijaga dengan baik bagi mengekalkan sumber alam sentiasa hidup dan kekal.

- Advertisement -

Hari ini telah berlangsung program memelihara alam sekitar di Sejiwa Campsite Bukit Jawa, di sini sebagai usaha ke arah itu yang turut disertai anggota masyarakat setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk melestarikan alam agar sentiasa terpelihara.

Jelasnya, usaha ini bagaimanapun tidak berjaya sekiranya tanpa penyertaan dan sokongan rakyat Kelantan dan penduduk setempat.

“Alhamdulillah, program ini berlangsung dengan penuh semangat, disertai pelbagai lapisan masyarakat yang komited dalam melestarikan alam sekitar di Sejiwa Campsite Bukit Jawa hari ini.

“Saya bersama jawatankuasa pengelola termasuk Pengerusi Kelab Mendaki Alteras, Dato’ Azuhan Ibrahim, Pengerusi Yayasan Haji Salleh Permatang Gading, Dato’ Mohd Zukri Salleh serta lain-lain pimpinan,” ujarnya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan As Saalikin Selising dengan kerjasama Anggota Maritim Negeri Kelantan dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Beliau berharap, program ini terus menjadi inspirasi dan langkah awal ke arah lebih banyak inisiatif penghijauan pada masa hadapan, melibatkan lebih ramai pihak dalam usaha mengekalkan khazanah alam negeri dan negara. – HARAKAHDAILY 3/11/2024