KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan memperhalusi secara perbincangan dengan lebih lanjut berhubung syarat yang akan dikenakan untuk membuka pawagam di negeri ini dari permohonan diterima daripada beberapa syarikat.
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Ustaz Mohd Asri Daud berkata, syarat yang sedia ada akan diperhalusi sebelum memutuskan permohonan pembukaan pawagam.
Beliau memberitahu, syarat tersebut akqn dibincangkan terlebih dahulu untuk mendapatkan solusi yang lebih baik sebelum perkara tersebut dapat diputuskan.
Jelas beliau, pimpinan kerajaan negeri sebelum ini sudah menyenaraikan syarat yang sepatutnya untuk tujuan itu.
“Ada syarat yang ketat dikenakan dan pimpinan dahulu sudah sebut pembukaan pawagam dibenarkan jika memenuhi syarat itu,” katanya pada media ketika ditemui pada Ijtimak Tarbawi 10.0 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) semalam.
Beliau memberitahu, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu selepas mesyuarat kerajaan negeri.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Kelantan tidak pernah melarang pembukaan pawagam, tetapi pengendali perlu mematuhi syarat yang agak ketat.
Antaranya mengelak penyaringan dalam persekitaran gelap untuk mengelakkan unsur-unsur yang tidak diingini.
Mereka yang berminat membuka pawagam di Kelantan juga beritahunya perlu mematuhi waktu solat terutama Maghrib dan Isyak kerana jarak masa yang singkat. – HARAKAHDAILY 3/11/2024