KOTA BHARU: PAS menganjur sambutan ulang tahun ke-34 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) selepas mentadbir negeri itu bermula 21 Oktober 1990.
Program tersebut bermula dengan solat Isya’ kemudian diikuti solat hajat diimamkan ulama terkenal Syeikh Wazir Che Awang.
Ketua Penerangan PAS Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata, sehingga sekarang dua fasa PAS mentadbir Kelantan iaitu bermula pada tahun 1959 sehingga 1978.
Manakala fasa kedua bermula pada 21 Oktober 1990 sehingga sekarang.
Katanya berdasar dua fasa tersebut PAS sudah mentadbir Kelantan dalam tempoh 53 tahun, suatu tempoh yang begitu panjang.
“Baru-baru ini kita menganjur Munaqasah Ucapan Presiden di Putik dengan kehadiran begitu ramai dan semalam dan hari ini pula diadakan Ijtimak Tarbawi juga di Putik,” katanya pada program tersebut malam ini.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakub, Timbalan Pesurujaya Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor dan wakil-wakil rakyat serta wakil Palestin Dr Asraf Ewat.
Kamarudin pula berkata, dalam tempoh 34 tahun PAS berterusan mentadbir Kelantan bagi fasa kedua selepas fasa pertama bermula pada 1959 sehingga 1978.
Menurutnya juga biarpun beliau bersama Umno sebelum ini, namun mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin PAS termasuk arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Saya pernah bertemu dengan Tok Guru semasa arwah belum lagi terbabit secara aktif dalam politik iaitu di rumah Datuk Asri Muda di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Menurutnya juga hubungan dengan PAS bertambah erat selepas beliau menyertai Bersatu dan bersama mentadbir Kelantan selepas pilihan raya negeri pada Ogos 2023.
“Sebagai wakil rakyat di DUN Air Lanas saya mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan PAS di kawasan tersebut, di mana banyak aktiviti bersama rakyat diatur mereka.
“Kita dari Bersatu banyak belajar daripada mereka yang bekerja ikhlas mendekati rakyat tanpa mengira musim pilihan raya sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2024