SEBELUM berlaku serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, kebanyakan negara Arab dan Islam berada pada fasa normalisasi dengan negara haram itu.
Antaranya ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang tanpa segan silu menghebahkan kepada dunia tentang hubungan dagang antara kedua-dua negara tersebut melalui media sosial dan laman rasmi yang boleh diakses oleh sesiapa pun.
Malah, Dewan Perdagangan UAE-Israel memiliki ibu pejabat di Tel Aviv setelah kedua-dua negara memeterai Perjanjian Abraham pada tahun 2020. Namun, semuanya berubah selepas operasi ketenteraan Taufan al-Aqsa di mana kali terakhir mereka mengemas kini maklumat perdagangan hanya pada 8 Oktober 2023.
Setelah berlakunya serangan balas yang dilancarkan Israel, negara-negara yang mempunyai hubungan dan normalisasi dengan Israel seperti UAE, Mesir dan Jordan telah mengubah pendirian mereka dengan mengkritik serangan demi serangan yang memakan korban penduduk awam di Gaza dan terkini di Lubnan.
Menteri Luar Negara Jordan, Ayman Safadi telah bertemu dengan diplomat Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken lalu menuntut untuk sesuatu tindakan diambil berhubung penghapusan etnik yang terjadi di utara Gaza.
Sementara itu, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty telah berucap pada pertengahan Oktober yang lalu di Perhimpunan Dewan Keamanan PBB, bahawa Israel adalah penyebab kepada bencana kemanusiaan besar-besaran yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza.
Perubahan geopolitik di Asia Barat sedang berlaku dengan pantas, sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, Arab Saudi kelihatan terbuka untuk menjalin hubungan lebih erat dengan Israel. Namun, setelah setahun berlalunya konflik di Gaza, Riyadh semakin mesra dengan musuh tradisinya, Iran.
Berlakunya perubahan dasar luar Arab Saudi yang sebelum ini dilihat bersedia mengiktiraf Israel dalam pemulihan hubungan (normalisasi) yang boleh mengubah landskap politik di Asia Barat. Sebelum ini, hubungan Arab Saudi dan Israel kelihatan semakin dekat dengan perjanjian damai yang akan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua pihak.
Arab Saudi yang sebelum ini dilihat longgar dalam soal penubuhan negara Palestin, kini bergantung kepada penerimaan Israel terhadap negara Palestin yang berdaulat sebagai syarat utama dalam mana-mana perbincangan dengan negara itu.
Sikap itu amat berbeza dengan pendekatan sebelum ini apabila pemulihan hubungan dengan Israel dilihat sebagai satu cara untuk mengukuhkan kedudukan Riyadh di peringkat antarabangsa tanpa memberi keutamaan besar kepada isu Palestin berhubung dengan kekejaman yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah korban Palestin di Semenanjung Gaza meningkat kepada 42,847 orang. Dalam tempoh 24 jam terakhir, serangan tentera Israel telah meragut 55 nyawa dan mencederakan 132 yang lain, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa cedera seramai 100,544 orang.
Kekejaman dan jenayah perang yang dilakukan oleh Israel telah membina pandangan awam yang tidak mungkin dapat diperbaiki, justeru untuk para pemimpin politik di negara-negara Arab untuk kembali kembali “normalisasi” adalah hampir mustahil. – HARAKAHDAILY 2/11/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.