Pendapatan RM100,000 bukan T15 tetapi ‘T1.5’ – YB Bachok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya pembangkang hanya membela dan mempertahankan golongan ‘maha kaya’ T15.

“Tidak betul jika dikatakan Ahli Parlimen pembangkang hanya bangkitkan isu T15 di Dewan Rakyat sehingga tidak membela nasib 85 peratus rakyat bawahan dalam kalangan golongan B40 dan M40. Mungkin PM terkhilaf.

“Jika kita ikuti perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang, boleh dinisbahkan 85 peratus topik perbahasan menyentuh pelbagai isu rakyat bawahan dan kegagalan kerajaan. Manakala baki 15 peratus topik perbahasan adalah menyentuh isu-isu antarabangsa,” ujarnya.

Setiausaha Politik Presiden PAS ini sebaliknya membidas bahawa polemik yang timbul ini adalah akibat kecelaruan dasar penyasaran subsidi dibuat tanpa kajian teliti, selain mencipta alasan untuk menutup kegagalan kerajaan.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, kerajaan sedang mengkaji semula takrifan bagi T15 selepas berpandangan jumlah yang ditetapkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi golongan itu ketika ini iaitu kira-kira RM13,000 terlalu rendah.

“Kita fikir nak naikkan RM15,000 ke RM20,000…itu sedang dibincangkan. Jadi tidak ada percanggahan sama sekali,” kata Ahli Parlimen Tambun itu ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat pada Selasa, 29 Oktober baru-baru ini.

Malah, Anwar selepas beliau sendiri menyebut istilah ‘maha kaya’ dan pengkelasan T15 itu semasa pembentangan Belanjawan 2025 dan mahu mengkaji semula itu, terbaharu memetik pula angka pendapatan yang lebih tinggi, iaitu RM100,000 sebulan.

“Kalau ke hospital kerajaan, pendapatan kamu RM100,000 sebulan, bayarlah sikit. Kalau di universiti, kalau ayah anda berpendapatan RM100,000 sebulan maka munasabah tak kita ambil sedikit daripada mereka yuran tambahan.

“Maknanya tidak semua kemudahan pelajar ditaja… saya rasa munasabah,” katanya sebagaimana dilaporkan media dari program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini semalam.

Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS dan berpengalaman di sebuah konglomerat sebelum ini, sebagai reaksinya kepada angka terbaharu diletakkan Anwar tersebut menyatakan bahawa pendapatan RM100,000 bukan dalam golongan T15, tetapi T1.5.

“Inilah akibatnya apabila PMX gagal turunkan harga minyak, gagal turunkan hutang, gagal tunai janji, gagal tangkap pencuri. Yang menjadi mangsa adalah rakyat.

“Golongan bawahan B40 terhimpit, golongan pertengahan M45 tersepit, manakala golongan atasan T15 terpalit. PM lemas, rakyat rimas,” ujar Syahir terhadap punca polemik tersebut. – HARAKAHDAILY 2/11/2024

- Advertisement -
- Advertisement -