KOTA BHARU: Perjuangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) membela rakyat di negara ini berdepan dengan pelbagai halangan di era Kerajaan Madani.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, usaha para pemimpin PN termasuk wakil rakyat yang turun padang membela nasib penduduk miskin dihalang daripada sampai ke pengetahuan orang ramai.
“Kita berhadapan dengan kerajaan yang tidak seperti dahulu, ditambah pula Pakatan Harapan (PH) bergabung dengan Umno dan DAP berganda-gandalah kejahatan mereka.
“Pemuda dedah masalah rakyat secara live melalui media sosial mereka sekat,” ujarnya pada slot ‘Kita Memimpin’ sempena Ijtimak Tarbawi 10.0 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.
Turut menjayakan slot berkenaan, bekas-bekas Ketua Dewan Pemuda PAS termasuk Nassarudin Hassan, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, dan Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Afnan berkata, sekiranya perkara itu berlaku di zaman mereka belum menjadi kerajaan, sudah tentu PH akan bantah keras.
Namun, selepas mendapat kuasa mereka menodai apa yang pernah diperjuangkan ketika berada di saf pembangkang. – HARAKAHDAILY 2/11/2024