KUALA LUMPUR: Para pemimpin dan parti politik diingatkan agar tidak membuat janji-janji yang mereka sendiri tidak boleh tepati dalam sebarang keadaan terutama kempen pilihan raya.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, hakikat daripada janji yang pelbagai, tetapi sebenar kehidupan dihadapi oleh rakyat pada hari ini adalah semakin tersepit.
“Apa yang kita lihat pada hari ini ialah keadaan ekonomi rakyat berbeza dengan apa yang dijanjikan oleh sesetengah pihak sebelum memegang kuasa pentadbiran.
“Oleh sebab itu, jangan berjanji sekiranya tidak dapat ditunaikan secara realiti kerana rakyat sendiri akan tuntut perkara tersebut,” ulasnya selepas sidang media di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, semalam.
Menurut beliau yang juga merupakan seorang peguam, seharusnya pihak kerajaan bekerjasama dengan pembangkang apabila menyentuh soal isu ekonomi rakyat.
Tambah beliau, isu-isu sebegini yang seharusnya dijadikan sebagai antara perkara yang amat penting untuk dibincangkan dalam Parlimen Malaysia terutamanya.
“Apa yang kita lihat dalam Parlimen sekarang ialah kerajaan mempunyai naratif tersendiri dan begitu juga dengan pihak pembangkang. Seharusnya kedua-dua pihak perlu bekerjasama dalam menyelesaikan isu ekonomi rakyat itu sendiri.
“Ini kerana yang merasai bukan sahaja pengundi kawasan tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau menyatakan perlunya satu kajian secara menyeluruh bagi menghadapi masalah ekonomi rakyat.
Kata beliau lagi, kaedah ini termasuklah dengan pihak kerajaan dan pembangkang turun padang dan bertanya sendiri pandangan rakyat terhadap ekonomi negara ini.
“Realiti sebenar mengenai ekonomi rakyat ialah nampak sahaja baik, tetapi hakikat bersifat sebaliknya yang mana ramai yang sedang susah. Perkara sebegini boleh dilihat kalau sebelum ini RM100 boleh beli barangan apa dibandingkan dengan RM100 pada masa ini.
“Maka, perlunya kajian secara menyeluruh dilakukan bagi mencari kaedah yang sesuai dalam menangani isu sebegini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2024