ALLAH menegaskan bahawa kuasa-Nya mencakupi segalanya, termasuklah peralihan siang dan malam yang berlaku setiap hari. Proses ini adalah bukti keagungan dan kekuasaan-Nya, yang tidak boleh disangkal.
Sebagaimana Allah mampu menggantikan siang dengan malam dan sebaliknya, demikian juga Dia mampu menukar sesuatu keadaan dengan mudah.
Ini mencerminkan hakikat bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat, tidak ada satu perkara pun yang terlepas daripada pengetahuan-Nya.
Penukaran siang dan malam adalah tanda jelas bahawa hanya Allah yang layak disembah. Ia menggambarkan kebesaran dan kekuasaan-Nya, yang jauh berbeza daripada benda-benda yang disembah oleh kaum kafir.
Berhala-berhala dan objek sembahan tersebut tidak mampu berbuat apa-apa; mereka hanyalah ciptaan manusia sendiri.
Manusia mengukirnya, mengangkatnya jika ingin dipindahkan, malah terpaksa melindunginya jika berlaku bencana seperti banjir.
Betapa lemahnya benda-benda ini, dan betapa lemah juga kepercayaan yang meletakkan makhluk tersebut sebagai Tuhan.
Aqidah yang tidak betul ini menunjukkan kesilapan mendalam dalam fahaman kaum yang tidak beriman.
Benda yang mereka sembah bukanlah Tuhan yang sebenar, sebaliknya hanya ciptaan yang tidak mempunyai sebarang kuasa. Allah sahaja yang Maha Tinggi dan Maha Besar, Tuhan yang hakiki dan mutlak.
Segala yang lain adalah palsu dan tidak layak disembah. Allah-lah satu-satunya Tuhan yang sebenar, yang menguasai langit dan bumi serta segala perubahan yang berlaku di antara keduanya.
Allah mengingatkan manusia tentang bukti kebesaran dan kekuasaan-Nya melalui turunnya hujan dari langit.
Air yang turun membawa kehidupan kepada bumi, menjadikan tanah yang tandus bertukar hijau subur.
Kejadian ini adalah bukti bahawa Allah Maha Halus dan lemah-lembut dalam urusan tadbir-Nya, serta Maha Mendalam pengetahuan-Nya tentang segala hal makhluk di bumi.
Hujan adalah salah satu tanda kekuasaan Allah yang tidak dapat dikawal oleh manusia. Ketika manusia mengharapkannya, hujan mungkin tidak turun, dan ketika tidak diinginkan, hujan boleh turun dengan lebatnya.
Ini menunjukkan bahawa turunnya hujan adalah dalam kawalan penuh Allah. Kehadiran hujan sangat penting untuk kehidupan makhluk di bumi, terutama tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan manusia.
Tanpa hujan, tumbuh-tumbuhan akan layu, haiwan tidak akan mendapat sumber makanan, dan manusia sendiri akan menghadapi kesulitan besar, kerana air adalah sumber utama kehidupan.
Dalam sejarah peradaban manusia, penempatan sering dibina berhampiran sumber air seperti sungai atau laut. Sungai menjadi nadi kehidupan kerana menyediakan air untuk diminum, membasuh, dan sebagai laluan perhubungan.
Walaupun zaman semakin maju, dan penempatan kini banyak beralih ke darat yang bergantung kepada bekalan air paip dan telaga, sungai tetap berfungsi sebagai sumber kehidupan yang penting.
Di Tanah Arab, air telah lama menjadi sumber utama yang sangat bernilai. Banyak kisah dalam sejarah di mana perbalahan berlaku antara individu atau negara disebabkan perebutan sumber air.
Kini, air bukan sahaja menjadi sumber minuman tetapi juga berkembang menjadi sumber tenaga baru, seperti tenaga hidrogen yang digunakan dalam mencipta enjin kereta dan kapal terbang.
Semua ini mencerminkan kebesaran Allah yang bukan sahaja menyediakan sumber kehidupan, tetapi juga memberikan ilham kepada manusia untuk memanfaatkan air dengan pelbagai cara yang lebih maju dan bermanfaat. – HARAKAHDAILY 2/11/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.