Anwar sembunyi isu dalaman kerajaan Madani

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS menganggap kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai kerajaan semakin stabil bagi menghadapi pilihan raya akan datang sebagai menyembunyi perkara sebenar.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, gambaran tersebut hanya luaran sahaja, sebaliknya dalaman terus berkecamuk adegan sindir menyindir dan perbalahan antara parti kompenan.

Katanya rakyat boleh menilai sejauh mana ‘perpaduan’ diterjemahkan dalam kerajaan hari ini.

“Luar nampak bersatu elok, tetapi dalam mereka tak serasi sebab itu kita lihat beberapa insiden dilaporkan seperti perbalahan antara parti tidak menggambarkan perpaduan sebenar.

“Semua orang tahu bagaimana sikap dan hala tuju yang dibawa pimpinan DAP baru-baru ini yang tembak pemimpin Umno, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Taujihat Tarbawi sempena Ijtimak Tarbawi 10.0 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu mengulas kenyataan Perdana Menteri yang menzahirkan keyakinan kestabilan kerajaan yang dibentuk 18 sokongan parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

Anwar turut menjangka kerjasama tersebut terus kekal, bukan sahaja sepanjang empat tahun bermula 24 November 2022, malah boleh membentuk kerajaan selepas pilihan raya akan datang. – HARAKAHDAILY 2/11/2024