Ahli tolak golongan cuba tukar dasar perjuangan PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS pernah berdepan dengan golongan tertentu dalam parti yang cuba bertindak membawa haluan lain secara mengenepikan usaha perjuangan mendaulatkan Islam.

- Advertisement -

Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, kumpulan terbabit sebelum ini berusaha merosakkan perjuangan parti dari dalam.

Katanya, mereka mahu mengeluarkan PAS daripada landasan perjuangan Islam, namun akhirnya kumpulan terbabit ditolak ahli dan pendukung PAS pada muktamar yang diadakan sebelum ini.

“Apa yang penting kita mesti ikhlas dalam perjuangan, ikhlas memperjuangkan sebagai wadah gerakan politik Islam dan dakwah. PAS  juga sebuah gerakan yang berjuang untuk menegakkan agama Islam serta melindungi masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Pengertian itu perlu difahami generasi muda,” katanya pada slot ‘Kita Memimpin’ sempena Ijtimak Tarbawi 10.0 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.

Turut menjayakan slot berkenaan, bekas-bekas Ketua Dewan Pemuda PAS termasuk Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Pada majlis itu Nasrudin turut mengingatkan Pemuda sentiasa bersiap sedia dalam apa juga cabaran kerana ia berbeza mengikut zaman.

“Musuh tidak pernah berhenti untuk menghancurkan Islam, kerana itu Pemuda dan jemaah gerakan Islam perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran yang sentiasa berubah-ubah,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2024