KUALA LUMPUR: “Sekali lagi, tular isu kes penderaan melibatkan penggunaan seterika di Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), berlaku tidak lama selepas 6 pesalah dalam kes arwah Zulfarhan dijatuhi hukuman mati,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Mahfodz.
Menurutnya, apa yang lebih penting untuk direnungkan ialah bagaimana insiden ini melibatkan pelaku dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Tingkah laku sadistik berkait rapat dengan kecenderungan psikopati, salah satu dari triad personaliti gelap: narsisisme, machiavellianisme, dan psikopati.
“Dalam keghairahan kita memperbaiki ranking universiti, memperkukuh pendidikan STEM, dan menekankan kemahiran berfikir aras tinggi (KBKK), kita jangan alpa terhadap aspek kecerdasan rohani dan emosi sebagai sebahagian daripada ukuran kejayaan pendidikan, sebagaimana ia termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.
“Matlamat pendidikan kita bukan sekadar mencapai kejayaan material, tetapi lebih penting, melahirkan masyarakat yang berbudi pekerti dan berakhlak mulia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Nushi turut berkata, Ibn Khaldun menegaskan bahawa kemakmuran negara bergantung kepada penghasilan tenaga mahir melalui pengilmuan rakyat dari sudut kecerdasan intelektual dan pembentukan masyarakat berakhlak hasil daripada iman, kecerdasan rohani, dan emosi.
Katanya lagi, kemajuan dan kesejahteraan negara hari ini tidak lagi hanya diukur melalui GDP atau indeks ekonomi, malah turut merangkumi indeks kebahagiaan dan penunjuk kemajuan sejati yang menilai kesihatan sosio-ekonomi dengan mengambil kira sistem nilai.
Tambah beliau, pembangunan sistem nilai harus menjadi fokus utama demi Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera.
“Dalam konteks ini, Islam menawarkan nilai terbaik sebagai panduan hidup manusia.
“Saya berharap agar siasatan kes penderaan di UPNM berjalan lancar dan telus demi keadilan buat mangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!