KOTA BHARU: Mahasiswa Islam perlu mempunyai tiga perkara dalam diri masing-masing, intelektualisme, idealisme dan aktivisme bagi menjadi tonggak perubahan masyarakat pada hari ini.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sesi 2018-2019, Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin berkata, golongan terbabit perlu mempelopori gerakan untuk memimpin masyarakat.
Beliau berkata, wujud kelompangan dalam gerakan kepimpinan di institusi pengajian tinggi tempatan kerana dianggap masih mudah ‘mentah’ dan tidak layak diangkat sebagai pemimpin.
“Seharusnya kita mengambil peluang kepada keadaan kelompangan ini, keadaan yang tiada orang yang mempelopori gerakan memimpin masyarakat seharunys kita mahasiswa Islam ini pelopori.
“Jadi kita ini pada dirinya mesti ada tiga perkara, inteletualisme, idealisme dan aktivisme, kita didik dengan dan dibentuk dengan fikrah melalui akidah perjuangan dalam PAS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Forum Bersama Generasi Pelapis ‘Memimpin Pelapis Kepimpinan Pemuda’ sempena Ijtimak Tarbawai 10.0 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini. (Foto atas)
Forum itu turut disertai Pengerusi SiswaPAS sesi 2019-2020, Muhammad Aiman Mohd Yusof; Presiden GAMIS sesi 2017-2018, Muhammad Faizuddin Mohd Zai dan Pengerusi SiswaPAS Selangor, Ahmad Abdul Aziz.
Muhammad Ikhwan Nasyriq berkata, kepimpian mahasiswa Islam pernah menjadi satu gerakan yang sangat dominan dalam sejarah sepanjang tahun 1960 sehingga 1970-an yang beraliran sosialis.
Bagaimanapun situasi itu mula berubah katanya setelah berlaku kebangkitan Islam dengan tercetusnya Revolusi Iran menyebabkan sentimen kepada agama semakin kuat pada akhir era 1970-an.
“Kalau kita menelusuri sejarah gerakan mahasiswa di negara kita, sentimen Islam itu semakin kuat pada akhir tahun 1970-an, memberi kesan wujudnya gerakan mahasiswa berteraskan akidah Islam.
“Wujud gerakan mahasiswa, mereka ini mempunyai ideologi atau berpegang kepada akidah Islam dan perjuangan, kita lihat bagaimana peranan mahasiswa yang menjadi pemimpin masa depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024