JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa agar melakukan kajian yang lebih teliti, mendalam dan profesional untuk membuat klasifikasi sosioekonomi terhadap rakyat ke arah usaha melakukan penyasaran subsidi.
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, ia dibimbangi bahawa tindakan itu akan menambah beban kepada rakyat.
“Kerajaan Madani dilihat tergesa-gesa dalam mengklasifikasi rakyat dengan T15, T10 dan seumpamanya. Penjenamaan yang dipopularkan pasca pembentangan bajet yang tidak kondusif.
“Kerajaan seharusnya lebih teliti dan tidak perlu tergesa-gesa mengambil tindakan sedemikian yang bertujuan bagi membolehkan kajian semula penstrukturan subsidi minyak dan penetapan cukai,” katanya.
Abu Irfan berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook PAS Johor.
Menurut beliau, kerajaan perlu membuat kajian terperinci berhubung bebanan yang kini ditanggung oleh rakyat berpunca daripada kenaikan harga barangan keperluan ekoran kenaikan harga diesel di samping kerajaan telah melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan.
“Penilaian tidak hanya dibuat berpandukan jumlah pendapatan di atas kertas, namun seharusnya ia juga dikaji berkenaan kos keperluan dan jumlah tanggungan sesebuah keluarga.
“Satu sesi libat urus secara adil dan bijaksana diperlukan demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat semua peringkat diberikan keutamaan,” katanya.
Tambah beliau, kebajikan dan prihatin adalah perkara yang lebih utama kepada rakyat dalam situasi sekarang. – HARAKAHDAILY 1/11/2024