KOTA BHARU: Kelantan merai sambutan ulang tahun ke-34 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dengan kuliah khas disampaikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad al Bakri di Medan Ilmu pagi ini.
Kuliah Pagi Jumaat Khas diadakan di Medan Ilmu Jalan Dato’ Pati dengan menampilkan kelainan apabila mengundang bekas menteri agama.
Minggu lepas kuliah di lokasi sama disampaikan pendakwah terkenal dari Terengganu, Ustaz Azhar Idrus.
Pagi ini kuliah siri pertama bermula jam 8.30 pagi disampaikan Timbalan Exco Nik Bahrum Nik Abdullah yang menyentuh berkaitan Enakmen Keluarga Islam di Kelantan.
Siaran langsung program tersebut juga boleh diikuti melalui laman Facebook Kelantan TV.
Malah petang ini ribuan pemuda PAS dari seluruh negara akan berhimpun di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa bagi mengikuti Ijtimak Tarbawi.
Program tersebut berlangsung dua hari ini dengan kemuncak esok slot tafsir yang akan disampaikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sebelah petang.
Dan malam ini slot Kerajaan Empat Negeri (SG4) akan menampilkan Exco Agama dari empat negeri bagi membincangkan cabaran dan pelaksanaan agenda Islam di negeri terbabit.
Kelantan akan diwakili Mohd Asri Mat Daud, Dr Muhamad Khalil Abdul Hadi (Terengganu), Dato’ Mohd Azam Abdul Samad (Kedah) dan Mohammad Azmir Azizan (Perlis).
Malam esok pula akan diadakan solat hajat sempena ulangtahun ke-34 dasar MBI di Putik bermula solat Isyak. Turut diadakan ceramah khas yang turut menampilkan Presiden PAS dan pimpinan PAS Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/11/2024