Belia, mahasiswa perlu bersedia hadapi tahun tajdid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Belia dan mahasiswa perlu memperlengkapkan diri masing-masing bagi menghadapi tahun yang dikatakan bakal berlaku tajdid atau reformasi sebagaimana disebut dalam hadis riwayat abu daud.

- Advertisement -

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2017-2018, Muhammad Faizuddin Mohd Zai berkata, tahun 2024 menyaksikan genap 100 tahun selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Beliau berkata, setiap orang Islam perlu yakin gerakan tersebut akan berlaku bagi membantu masyarakat agar tidak lari dari agama selain menjaga kesucian agama dari unsur yang dianggap ‘taghut’.

“Tajdid atau reformasi ini berlaku 100 tahun selepas keruntuhan Khalifah Turki Uthmaniyah 1024 dan benda ini disebut dalam hadis nabi, ia di bawah oleh individu atau sekumpulan orang beriman.

“Ulama menyebut taghut ini harta benda, pemimpin yang zalim dan sebagainya, ada perbincangan media sosial dan pempengaruh adalah taghut sekiranya membawa manusia jauh dari agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Bersama Generasi Pelapis ‘Memimpin Pelapis Kepimpinan Pemuda’ sempena Ijtimak Tarbawi 10.0 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini. (Foto atas)

Forum itu turut disertai Pengerusi SiswaPAS sesi 2019-2020, Muhammad Aiman Mohd Yusof; Presiden GAMIS 2018-2019, Muhammad Ikhwan Nasyriq Salahin dan Pengerusi SiswaPAS Selangor, Ahmad Abdul Aziz.

Muhammad Faizuddin turut menggalas tugas untuk membawa manusia agar menyedari kehidupan di dunia hanya sebagai hamba untuk menyembah serta mengabdikan diri, jiwa dan raganya kepada agama Islam.

Beliau berkata, tanpa tarbiyah pendukung gerakan Islam tidak akan mampu menggalas amanah yang pernah diberikan kepada rasul-Nya dan tanggungjawab tersebut diteruskan umat Islam sehingga sekarang.

“Nak jadi orang baik jaga tahajud jaga ibadah subuh kita di masjid, jaga agama dalam diri kita, nak tadbir dunia ini tanpa tarbiyah kita hanya jadi manusia biasa seperti di luar sana.

“Kita mengatakan kita Islam, ibadah dan sebagainya tetapi kesemuanya kosmetik, Islam bukan seperti apa dilakukan Rasulullah, apatah lagi nak sambut tajdid yang 100 disebut oleh baginda,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024