Beza haram dengan makruh

- Advertisement -

Soalan:

- Advertisement -

Ada seorang mengatakan siapa yang melakukan perbuatan yang makruh dia jadi fasiq dan akan diazab di akhirat sama seperti buat yang haram. Benarkah perkataannya itu?

Jawapan:

Perkataan di atas adalah tidak benar.

Haram tidak sama dengan makruh sekalipun keduanya adalah dilarang.

Haram ertinya larangan yang berdosa pelakunya manakala makruh ialah larangan yang tidak berdosa pelakunya.

Orang yang melakukan perbuatan yang haram sama ada dosa besar atau dosa kecil wajib bertaubat tetapi yang melakukan perkara makruh tidak wajib bertaubat.

Pelaku dosa besar menjadi fasiq sekalipun hanya melakukan dosa tersebut sekali sahaja seperti meninggalkan solat atau minum arak atau rasuah.

Pada dosa kecil pula disyaratkan melakukannya berulang-ulang kali untuk menjadikan pelakunya seorang yang fasiq.

Manakala perbuatan makruh tidak menjadikan pelakunya fasiq.

Berkata Imam Nawawi:

أما المكروه : فلا يعاقب عليه : لكن ينقص أجره بالنسبة إِلى من لا يفعله : وأما الحرام : فيستحق العقاب عليه في الآخرة إِن لم يتب منه توبة صحيحة. وأما الفسق : فيحصل بارتكاب كبيرة، أو الإِصرار على صغيرة

Ertinya: “Adapun yang makruh itu maka tidaklah diazab akan pelakunya akan tetapi kurang pahalanya dibandingkan dengan orang yang tidak melakukannya. Dan adapun yang haram maka berhaklah azab atas pelakunya pada akhirat jika dia tidak bertaubat daripadanya dengan taubah yang sahih. Dan ada pun fasiq itu hanya berhasil dengan sebab berbuat dosa besar atau kekal melakukan dosa kecil.” (Kitab Fatawa An-Nawawi)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 31/10/2024

- Advertisement -