16 seksyen Kanun Jenayah Syariah dibentang semula 2025

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi melakukan kajian 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan terbatal oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

- Advertisement -

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, penubuhan jawatankuasa itu dibuat oleh jawatankuasa induk semalam.

Katanya, beberapa siri pertemuan diadakan termasuk retreat sepanjang November dan Disember ini sebelum dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun depan.

“Jadi kita ada tempoh masa, insya-Allah pada awal tahun depan kita akan bentangkan penggubalan semula pindaan 16 seksyen kerana tahun ini tidak sempat.

“Jawatankuasa teknikal akan buat beberapa kajian,” katanya ketika ditemui selepas program Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit di pekarangan parkir Pasar Tok Kenali, di sini hari ini.

Mohd Asri yang juga ADUN Demit berkata, kajian tersebut bukan sahaja membabitkan 16 seksyen yang diumumkan terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.

Menurutnya, langkah itu bagi memberi kefahaman kepada penguatkuasa negeri dan persekutuan bagi mengenal pasti bidang tugas masing-masing agar tidak timbul pertikaian kedua-dua belah pihak.

“Bukan 16 seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sahaja, seksyen berbaki pun akan dibuat kajian juga untuk diberi kefahaman kepada pihak penguatkuasa undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2024

- Advertisement -