KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil berat terhadap insiden kematian gajah di Kahang pada 1 Jun lalu.
Menurut NRES, laporan makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati tiada penemuan spesifik mengenai punca kepada kematian gajah-gajah tersebut.
Katanya, keputusan ujian racun oleh Jabatan Kimia Malaysia pula mendapati semua sampel yang telah dihantar adalah negatif atau tidak mengesan racun umum seperti racun makhluk perosak, pestisid organofisfat dan pestisid organoklorin.
Tambahnya, walaupun ujian keracunan tidak mengesan racun umum, kematian gajah-gajah tersebut disyaki sebagai keracunan.
“Ini adalah berdasarkan kepada penemuan tanda-tanda sel yang tidak normal semasa bedah siasat yang menjurus kepada keracunan akibat pengambilan bahan yang mengandungi toksik yang tidak diketahui,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Islahuddin Abas [PN-Mersing].
Muhammad Islahuddin dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan laporan susulan mengenai insiden kematian empat ekor gajah di Kampung Sri Timur, Kahang pada Jun lalu.
Beliau juga bertanya mengenai langkah mitigasi yang dilaksanakan untuk memelihara habitat dan populasi gajah daripada ancaman kepupusan serta perincian pelan tindakan bagi menangani konflik antara manusia dengan gajah.
Tambah NRES, berhubung dengan pelaksanaan langkah mitigasi, Jabatan PERHILITAN akan terus melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara habitat dan populasi gajah bagi mengurangkan kes konflik manusia dan gajah.
Katanya, antaranya menjalankan 11 operasi tangkapan gajah dari tahun 2020 hingga Ogos 2024 di Mersing, Johor dan dipindahkan ke habitat yang lebih luas dan sesuai iaitu jauh daripada penempatan penduduk, membina 3 unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal dan mudah alih di Segamat di Felcra Gugusan Peta Temalik-Kemajuan Kg. Sungai Labis (Kg. Tenang); Kluang (Kg. Sri Lukut (Ldg Persind – Sg. Temechil); dan Kota Tinggi (Kg. Mawai);
Di samping itu, ujarnya 2 unit kolar satelit dipasang bagi kumpulan gajah yang telah dikenal pasti pada tahun 2024 bagi memantau pergerakan kumpulan gajah tersebut dan seterusnya mengambil tindakan pencegahan awal sekiranya kumpulan tersebut menghampiri kawasan kampung atau pertanian.
Jelasnya lagi, selain itu menyokong usaha mewujudkan rangkaian koridor dan habitat gajah melalui Projek Elephant Foodbank oleh pihak ladang dan masyarakat setempat bagi mengurangkan impak kerosakan tanaman seperti Projek Elephant Foodbank oleh pihak KL-Kepong di Johor; dan membuat hebahan melalui kenyataan media sosial, video pendek dan poster lintasan gajah semasa musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna jalan raya mengenai langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku pertembungan dengan gajah.
Katanya, Jabatan PERHILITAN juga melaksanakan tindakan kontigensi jangka panjang untuk menangani konflik manusia dan gajah dengan membangunkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (2023- 2030) (NECAP 2.0) sebagai panduan dalam melaksanakan pengurusan gajah yang lebih menyeluruh.
Ini, ujarnya termasuk mengadakan program kesedaran awam ke arah kewujudan bersama (co-existence) bersama pemegang taruh bagi memberi kesedaran mengenai pengurusan konflik hidupan liar termasuklah gajah.
Selain itu, kata NRES pihak Jabatan PERHILITAN dan Kerajaan Negeri Johor telah membangunkan sebuah Santuari Gajah di Parlimen Kota Tinggi, Johor yang terletak di sebuah kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai Tapak Santuari Gajah Johor.
Katanya, tapak itu telah diwartakan pada 16 Julai 2020 dan 24 Julai 2024 dengan keluasan lebih kurang 197 ekar.
Menurutnya lagi, projek pembangunan santuari ini terbahagi kepada 2 fasa di mana Fasa 1 ialah Pembangunan Kemudahan Asas (RMKe-11) seperti bangunan pejabat, berek kakitangan dan padok gajah telah bermula pada tahun 2016 dan siap pada tahun 2020.
Katanya, projek pembangunan JES Fasa 2 telah bermula pada tahun 2021 hingga 2026 termasuk melibatkan projek pembangunan fasiliti dan kemudahan pelawat. – HARAKAHDAILY 30/10/2024