KUALA TERENGGANU: Kerajaan digesa menaikkan harga lantai padi bagi meringankan beban kos yang semakin meningkat, khususnya bagi golongan pesawah yang terkesan oleh kenaikan harga diesel.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, pesawah kini dibebani kos yang lebih tinggi dalam setiap aspek penanaman padi, termasuk kos pembajakan, meratakan sawah, jentuai dan tambang lori.
“Kesan berantai peningkatan kos yang ditanggung oleh pesawah ekoran dari kenaikan harga diesel memang tidak dapat dinafikan.
“Kos bajak sawah, kos meratakan sawah, kos jentuai, kos tambang lori dan lain-lain lagi semuanya telah naik. Yang jatuh hanyalah air mata petani.
“Mereka yang menafikan hal ini tentunya selesa duduk dalam pejabat berhawa dingin tanpa pernah jejak kaki dalam lumpur sawah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau mencadangkan agar harga lantai padi dinaikkan dari RM1,300 per tan kepada RM1,500 hingga RM1,800 per tan bagi membantu pesawah mendapatkan pulangan yang lebih setimpal.
“Perlu difahami bahawa peningkatan harga padi akan juga meningkatkan harga jualan beras. Saya berpandangan adalah rasional untuk harga beras tempatan dinaikkan sedikit dari RM2.60 sekilogram (kg) sekarang selaras dengan kenaikan harga padi.
“Kalau naik sikit jadi RM2.80 kg pun rakyat boleh terima. Ianya lebih baik dari beras tempatan yang ditukar identiti jadi beras import dan dijual dengan harga beras import melebihi RM3.50 kg sekarang,” katanya.
Menurut Azman, cadangan itu bukan hanya disuarakannya di media sosial tetapi juga dibincangkan dalam mesyuarat bersama pihak berautoriti, termasuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Kerajaan negeri tak ada bidang kuasa dalam hal ini. Apa yang kerajaan negeri Terengganu telah buat ialah membuka sekatan penjualan padi agar padi dari sawah-sawah Terengganu boleh dijual ke mana-mana kilang yang menawarkan harga paling tinggi.
“Saya berpegang dengan kaedah, tanamlah padi seluas mana pun sawah, petani tak akan dapat duit. Jual padi barulah dapat duit,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024