KUANTAN: Pihak kerajaan dan pihak pemaju diminta untuk menyelesaikan isu projek perumahan Prima Pahang Sungai Karang yang masih lagi belum dapat disiapkan mengikut jadual asal.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Andansura Rabu berkata, projek berkenaan sepatutnya siap pada 2021, namun telah dianjakkan ke bulan Julai 2023.
“Peringkat awal projek ini dijadualkan siap pada tahun 2021. Tetapi oleh kerana Covid-19, maka ianya dianjakkan kepada bulan Julai 2023.
“Sebahagian daripada pembeli yang kita terima aduan telah mula diminta untuk membayar pinjaman untuk membeli rumah Prima ini bermula pada Februari 2023. Sehingga hari ini, rumah ini masih lagi tidak mampu disiapkan.
“Maknanya dalam tempoh setahun lebih, hampir dua tahun, pembeli-pembeli terpaksa membayar rumah ini dan menanggung kos tambahan untuk sewa rumah mereka sekarang,” katanya menerusi perkongsian di laman TikTok beliau.
Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, pihaknya berharap agar adanya langkah-langkah yang diambil untuk membantu masalah yang dihadapi oleh pembeli di projek perumahan berkenaan.
“Kita berharap ada langkah-langkah yang diambil untuk membantu pembeli supaya tidak terus membayar pinjaman mereka, tetapi mereka tidak dapat menduduki rumah ini,” ujarnya.
Andansura dalam pada itu memaklumkan bahawa tarikh baharu penyerahan kunci kepada pembeli adalah pada November 2024, namun projek perumahan itu dilihat masih belum mampu disiapkan.
“Kita cuba berhubung dengan pihak pemaju, dan pihak pemaju telah menyatakan bahawa tarikh baru dijangka untuk siap dan menyerahkan kunci kepada pembeli adalah bulan November 2024.
“Tetapi apabila kita buat lawatan sedikit ke tapak ini, kita dapati bahawa agak mustahil untuk siap pada November 2024.
“Maka, campur tangan pihak kerajaan, pihak berwajib untuk pembeli-pembeli ini yang terpaksa menanggung kos tambahan membayar pinjaman, menyewa rumah dapat dilakukan dengan segera.
“Kita juga mendoakan projek ini dapat disiapkan dengan segera supaya dapat membantu meringankan beban rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024