KUALA LUMPUR: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah melaksanakan kajian awal persampelan tinjauan potensi unsur nadir bumi (REE) dari lempung jerapan ion di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) meliputi kawasan seluas 12,150 km2.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, ia berhubung kadar simpanan (deposit) Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) mengikut negeri di Semenanjung Malaysia.
“Sebanyak 29 kawasan berpotensi telah dikenal pasti dengan kapasiti sebanyak 16.1 juta tan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan [PN-Kota Bharu] di Dewan Rakyat, semalam.
Takiyuddin dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan statistik kadar simpanan (deposit) Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) mengikut negeri di Semenanjung Malaysia dan pelaksanaan garis panduan aktiviti perlombongan NR-REE di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) hasil daripada projek perintis di Kenering, Perak.
Namun demikian, kata menteri itu anggaran sumber itu bukanlah merupakan jumlah deposit sebenar yang berpotensi untuk dilombong kerana ia belum mengambil kira lokasi dan juga status guna tanah.
Menurutnya, berdasarkan semakan dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), JMG menyimpulkan secara keseluruhan terdapat seluas 24,284 kilometer persegi kawasan taburan REE di Semenanjung Malaysia.
Daripada jumlah keluasan tersebut, ujarnya 22,275 kilometer persegi berada dalam Hutan Simpan Kekal (HSK), manakala 2,009 kilometer persegi merupakan kawasan di luar HSK.
Katanya, statistik kadar simpanan (deposit) REE mengikut negeri di Semenanjung Malaysia hanya akan dikeluarkan setelah aktiviti pemetaan lanjut dibuat melalui peruntukan pembangunan bagi menentukan kedudukan sebenar deposit tersebut.
“Seterusnya berhubung pelaksanaan garis panduan aktiviti perlombongan NR-REE di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) hasil daripada projek perintis di Kenering, Perak.
“Kementerian telah mengedarkan dokumen prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE di Malaysia kepada semua Kerajaan Negeri pada 20 Disember 2023,” ujarnya.
Beliau menambah, dokumen SOP itu merupakan dokumen prosedur bersifat umum yang telah merangkumkan keseluruhan akta dan perundangan berkaitan.
Katanya, kerajaan negeri yang berminat untuk terlibat dalam aktiviti perlombongan REE boleh membangunkan SOP sendiri yang bersesuaian dengan perundangan negeri.
“Dokumen SOP perlombongan REE di Malaysia yang telah dibangunkan oleh kementerian boleh dijadikan rujukan dalam pembangunan SOP perlombongan REE dengan pindaan yang bersesuaian di negeri masing-masing,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 30/10/2024