KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memilih pendekatan yang berbeza dalam aspek pembangunan wanita dan keluarga berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Asmak Husin berkata, Kelantan telah memilih dasar membangun bersama Islam berteraskan Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.
Secara umum, prinsip Ubudiyyah menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah, prinsip Mas’uliyyah berkaitan integriti dan tanggungjawab, serta prinsip Itqan menekankan kepada akhlak dan amalan soleh.
“Satu Jawatankuasa Induk Dasar Wanita Kelantan telah dibentuk dengan tujuan membangun dan mengembangkan kemuliaan dan potensi wanita untuk kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Kelantan dan ummah di seluruhnya.
“Ia berdasarkan penghayatan cara hidup Islam serta cara hidup yang berdasarkan ketuhanan, nilai dan kepercayaan kaum serta nilai moral sejagat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang Ketua Penerangan Muslimat PAS Kelantan berkata, Dasar Wanita Kelantan telah menyatakan beberapa peranan Wanita Kelantan, antaranya ialah pengukuh kesejahteraan keluarga.
“Jadi, marilah kita bersama-sama jangan lepaskan peluang untuk mendengar bersama pakar yang akan mengupas apa yang dimaksudkan mengenai Keluarga Bahagia?
“Terdapat tips, inspirasi dan panduan praktikal untuk membentuk keluarga yang harmoni dan bahagia menurut ajaran Islam. Jangan lepaskan peluang untuk belajar bersama pakar dan menjadikan keluarga anda lebih diberkati,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau mengajak orang ramai khususnya golongan isteri agar mengikuti siaran langsung podcast Sisi Pandang episod yang kesembilan bertajuk, Rahsia Membina Keluarga Sakinah Mawaddah Wa Rahmah di platform Facebook, Institut Pemikiran Tok Guru.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk menonton secara langsung, boleh lihat video itu secara ulangan di pautan https://www.facebook.com/share/v/RvjYwLPGQvLtvm9g/?mibextid=oFDknk. – HARAKAHDAILY 30/10/2024