TANGGA BATU: PAS Negeri Melaka sudah mempunyai benih iaitu dua kerusi Parlimen di Jasin dan Tangga Batu, selain satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Rembia dalam memacu kemenangan yang lebih besar.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hakikat bahawa kemenangan PAS di dua kerusi Parlimen itu adalah pencapaian yang sangat cemerlang PAS Melaka.
“Banyak tempat dah saya pergi. Setelah kita lihat suasana pilihan raya yang sejak daripada tahun 1999 sampai sekarang, saya dapati bila saya pergi ke tempat yang seperti malam ini di mana kita boleh lihat kehadirannya merentasi pelbagai latar belakang.
“Tempat-tempat lain yang saya pergi, tengok suasana seperti ini insya-Allah itu adalah satu tanda. Tanda sekiranya kerja buat kita diteruskan dengan istiqamah, ianya merupakan tanda kemenangan insya-Allah,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu meminta agar ahli-ahli PAS di Melaka sentiasa bersabar dalam perjuangan kerana ia memang akan melalui jangkamasa yang panjang.
Perkara itu nyatanya, seperti yang pernah dilalui oleh negeri-negeri yang dikatakan sebagai ‘negeri kuat PAS’ seperti Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.
Beliau berkata demikian dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Bagi Negeri Melaka yang berlangsung di Putri Bay Hotel Melaka, Pantai Puteri, di sini malam tadi.
Dr Samsuri turut mengimbau kembali kesukaran dihadapi oleh PAS Terengganu sendiri yang pernah melalui jatuh bangun dan mengambil masa panjang untuk pulih dan menang.
Katanya, PAS pernah menang besar di DUN Terengganu pada PRU 1999 dengan menguasai 28 daripada 32 kerusi yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, namun pada pilihan raya seterusnya PAS kalah hanya mengekalkan empat kerusi sahaja.
Jelasnya, bukan sesuatu yang mudah menerima kenyataan daripada sebuah kerajaan kuat tiba-tiba pada pilihan raya berikutnya jadi pembangkang lemah.
Namun kata Dr Samsuri, PAS Terengganu tetap bersemangat untuk bangkit kembali, antaranya dengan melakukan satu penyelidikan besar-besaran pada tahun 2005 di semua DUN bagi mencari punca kekalahan.
Tambah beliau, dengan hasil kajian yang telah dibuat, PAS Terengganu bangkit membina kekuatan baharu, namun tidak pula terus beroleh kemenangan dalam jangka masa singkat.
Menurut Dr Samsuri pada PRU 2008, PAS Terengganu memperolehi lapan kerusi, manakala pada PRU 2013 pula meningkat kepada 15 kerusi iaitu kurang dua kerusi untuk bentuk kerajaan.
Kemudian katanya, pada PRU 2018 PAS kembali memerintah Terengganu apabila memenangi 22 kerusi dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022 pula PAS dan Perikatan Nasional menyapu bersih semua 32 kerusi dan lapan kerusi Parlimen.
“Berapa lama masa diambil? Kita menang 2018 daripada 2004? 14 tahun. Berapa kali pilihan raya sehingga kita dapat jadi kerajaan semula? Semua kena ada permulaan.
“Yang kita lihat sahabat-sahabat di Melaka ini pada malam ini saya lihat, inilah permulaannya. Kita ada benih, dua campur satu, di Melaka ini, dengan semangatnya ada, jangan rasa lemah semangat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ahli-ahli PAS agar jangan rasa lemah semangat atau berasa rendah diri dan kerdil seolah-olah PAS sebuah parti yang kecil.
“Tak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya baru-baru ini, kita menjadi parti tunggal dengan kerusi terbesar dalam negara kita yang sebelum ini didominasi BN, tiba-tiba PAS jadi parti tunggal terbesar.
“Sebab itu jangan rasa lemah semangat, jangan rasa kecil. Kena ada izzah dalam diri masing-masing bahawa masa di hadapan ini adalah masa kita sekiranya kita terus istiqamah dengan perjuangan kita dan memahami gerak kerja kita,” katanya.
Turut berucap ialah Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Rosni Adam dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail sementara Ketua Penerangan PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin bertindak sebagai moderator.
Lebih 300 orang pimpinan PAS dari pelbagai peringkat dari seluruh Negeri Melaka telah menghadiri program tersebut yang diadakan secara tertutup.
Pihak pengurusan Putri Bay Hotel Melaka yang teruja dengan pemimpin Negeri Terengganu itu turut menyampaikan cenderahati khas dari pihak hotel usai program berlangsung. – HARAKAHDAILY 30/10/2024