KOTA BHARU: Elemen bandar pintar merupakan suatu pendekatan baharu yang menggunakan teknologi maklumat canggih bagi meningkat kualiti hidup rakyat secara mampan dan selamat.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, komitmen bagi menyediakan bandar pintar 2040 di Kelantan disediakan PlanMalaysia.
Katanya bandar pintar dilengkapi jaringan murni.net yang menjadi kayu pengukur sebagai penunjuk kewujudan bandar pintar.
“Di Kelantan kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa menyokong usaha mewujudkan rancangan kawasan khas,” katanya pada perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 di sini hari ini.
Teks ucapannya dibaca Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang negeri, Wan Rohimi Wan Daud.
Hadir sama Timbalan Exco Datuk Abdul Rahman Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Abdul Patah Hasbullah, anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.
Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri berusaha untuk mewujudkan bandar sejahtera dan memiliki dayahuni di Kelantan.
Menurutnya usaha untuk mewujudkan persekitaran yang mampan secara bersepadu dilaksanakan selaras slogan Membangun Bersama Islam (MBI).
“Rancangan pembangunan khas berjaya mewujudkan bandar sejahtera dan mampan di Kelantan dengan teras MBI sejak tahun 1990.
“Pelbagai rancangan pembangunan di Malaysia diguna pakai di Kelantan bagi menghasilkan suasana mampan dan sejahtera,” ujarnya.
Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia diadakan sejak 1988 bagi meraikan perancang-perancang bandar.
Sementara itu sempena program berkenaan sebahagian besar PBT di Kelantan mendapat anugerah bandar mampan iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam, Majlis Daerah Dabong, Majlis Daerah Gua Musang.
Selain itu Majlis Daerah Jeli, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, Majlis Daerah Kuala Krai, Majlis Daerah Machang, Majlis Daerah Pasir Puteh, Majlis Daerah Tanah Merah dan Majlis Daerah Tumpat.
Manakala Majlis Daerah Pasir Mas menerima sijil penyertaan murni.net. MPKB-BRI juga menerima anugerah Kelulusan Terpantas Projek Skala Kecil.
Sementara itu Majlis Daerah Jeli mengekalkan kedudukan sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia selama tiga tahun berturut iaitu tahun 2024, 2023 dan 2022.
Kesemua anugerah tersebut disampaikan Wan Rohimi yang juga ADUN Melor. – HARAKAHDAILY 30/10/2024