KUANTAN: Kualiti air di Sungai Balok kini berada pada tahap terkawal dan sesuai untuk aktiviti perikanan serta pengambilan hasil sungai, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andasura Rabu.
Menurutnya, sungai tersebut diklasifikasikan pada kelas III, iaitu di peringkat pertengahan dari sudut kualiti air dan kadar pencemaran, di mana kelas I adalah yang paling bersih manakala kelas V adalah yang paling tercemar.
Katanya, itu antara perkara yang dikongsi dan dibincangkan pada pertemuan beliau dengan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang, Wandi Yadzid Yaakob. (Foto atas)
“Pertemuan diatur bagi mendapatkan kemas kini yang lebih jelas berhubung kualiti air susulan dua insiden di Sungai Balok dalam tempoh dua bulan sebelum ini.
“Secara ringkas, kadar pencemaran masih terkawal dan selamat untuk hidupan air serta pengambilannya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Mengulas mengenai kejadian ikan mati di muka muara yang dilaporkan sebelum ini, beliau berkata, ia dipercayai berpunca daripada pengaruh air laut dan kekurangan oksigen.
“Siasatan yang dijalankan bersama Jabatan Perikanan tidak menemui sebarang petunjuk pencemaran.
“Selain itu, kami turut membincangkan pelbagai perkara lain seperti penguatkuasaan, pemeliharaan, kesedaran awam dan libat urus bersama masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar negeri komited untuk memperkukuhkan kerjasama dalam menangani aduan serta berkongsi maklumat bagi meningkatkan keberkesanan pemeliharaan alam sekitar.
“Kami juga berhasrat untuk meneroka ruang yang boleh diusahakan untuk meningkatkan libat urus bersama sektor industri dan masyarakat dalam hal pemeliharaan alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024