KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, Perdana Menteri telah terlibat dalam 39 lawatan rasmi dan lawatan kerja ke 22 buah negara dari November 2022 sehingga Oktober 2024.
Katanya, antara negara yang dilawati oleh Perdana Menteri dan delegasi kerajaan ialah Arab Saudi, Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Indonesia, Jepun, Jerman, Kazakhstan, Kemboja, Mesir, Pakistan, Qatar, Rusia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Republik Rakyat China, Singapura, Thailand, Turkiye, Uzbekistan dan Vietnam.
“Kos perbelanjaan bagi kesemua lawatan tersebut adalah sebanyak RM13.7 juta,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Awang Hashim [PN-Pendang] di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Awang meminta Perdana Menteri menyatakan butiran senarai lawatan ke luar negara oleh YAB Perdana Menteri sehingga Oktober 2024, serta perincian mengenai jumlah pegawai pengiring yang mengikuti perjalanan tersebut dan kos perbelanjaan sepanjang lawatan berkenaan.
Zaliha berkata, kos perbelanjaan pegawai-pegawai kerajaan yang turut serta dalam lawatan Perdana Menteri ke luar negara adalah di bawah tanggungjawab kementerian masing masing.
Tambahnya, bagi pegawai keselamatan pula adalah di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Menurutnya, tujuan lawatan Perdana Menteri ke luar negara antara lain adalah bagi mengerat dan menyemarakkan hubungan diplomatik serta kerjasama dengan negara-negara terlibat termasuk meneroka inisiatif baharu bagi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan negara-negara luar.
Di samping itu, ujarnya Perdana Menteri turut menghadiri persidangan dan mesyuarat berjadual di peringkat antarabangsa yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dunia.
Tambahnya, lawatan rasmi dan persidangan antarabangsa itu juga merupakan satu platform yang terbaik bagi mempromosikan Malaysia serta mampu memberi maklumat terkini kepada komuniti perniagaan antarabangsa terhadap kedudukan ekonomi dan persekitaran perniagaan di Malaysia.
“Antara program yang dilaksanakan sepanjang lawatan rasmi ini termasuklah mesyuarat tertutup bersama bakal pelabur, seminar dan mesyuarat meja bulat,” katanya.
Beliau berkata, perbelanjaan lawatan ke luar negara Perdana Menteri sentiasa mematuhi tatacara kewangan yang berkuat kuasa, di samping mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah.
“Setiap lawatan juga menyasarkan output yang maksimum dengan menguna pakai kadar peraturan yang berkuat kuasa dan perbelanjaan yang optimum,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 30/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!