KOTA BHARU: Sudah menjadi kelaziman kerajaan era Madani mengumum sesuatu terlebih dahulu kemudian baru membuat kajian selepas dikritik pelbagai pihak.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata, langkah populis itu dianggap mengganggu keharmonian hidup rakyat.
Katanya ia seolah menggambarkan sekiranya rakyat atau pembangkang senyap, perkara itu akan terus berjalan walau pun dalam keadaan senget.
“Saya mengikuti sedutan ucapan Perdana Menteri berkenaan kajian semula terhadap penetapan T15. Ada dua perkara tergambar dalam minda saya.
“Pertama, kajian semula dalam apa jua perkara adalah baik untuk rakyat tetapi dalam kes ini, laksana pun belum tapi sudah mahu dikaji semula.
“Nampak idea tidak masak dan memalukan kerajaan,” katanya di sini.
Ketika membentang Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan terhadap golongan T15.
Bagaimanapun timbul pelbagai reaksi mengenai pengkelasan golongan T15 kerana ia tidak dinyatakan dengan jelas.
Mohamad Kamal juga berkata, apa yang berlaku sekarang jelas menggambarkan ketidaksiap-siagaan kerajaan Madani menguasai pengurusan kerajaan.
Menurutnya kerajaan Madani bermudah-mudah dengan sengaja mencipta polemik demi polemik yang meresahkan rakyat.
“Soal pengurusan harta kerajaan untuk keadilan dan kesamarataan tidak seharusnya dibuat mudah, kemudian apabila geger barulah kerajaan mahu membuat kaji semula.
“Jangan jadi jaguh T15. Ketimbang apa pula yang mahu disasarkan, lalu berbunyilah lagu entah siapa yang salah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024