AMMAN: Dua buah dron dilaporkan terhempas pada Selasa selepas ia tersasar dari laluan asal dan memasuki ruang udara Jordan.
Insiden itu berlaku di wilayah Wadi Saidoor di Irbid, namun tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan.
Seorang pegawai di Perintah Am Angkatan Bersenjata Jordan (JAF) berkata, nahas itu telah menyebabkan kebakaran hutan, tetapi segera dipadamkan oleh anggota bomba negara itu, lapor Arab News.
JAF dalam pada itu menyatakan bahawa pasukan kejuruteraan tentera telah dihantar untuk memeriksa tapak dan memastikan ia bebas daripada bahan letupan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk memastikan kawasan itu bebas daripada sebarang bahan letupan yang boleh membahayakan rakyat,” katanya.
Tiada butiran diberikan pada dron itu atau dari mana dron itu datang. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/10/2024