KJUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri turut meneliti cadangan untuk menambah Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) dan rumah tamu yang baru di seluruh Malaysia dengan cadangan memperluaskan perkhidmatan RPP di Sabah dan Sarawak dalam tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) khususnya RMK-12.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, cadangan-cadangan itu masih dalam penelitian mengambil kira keutamaan projek-projek kerajaan berdasarkan kepada kapasiti dan kedudukan semasa kewangan.
Di samping itu, ujarnya kerajaan turut meneliti cadangan pembinaan RPP melalui kaedah kerjasama awam swasta (Public Private Partnership – PPP) yang mampu meringankan bebanan kewangan kerajaan dan dalam masa yang sama dapat menggalakkan penyertaaan sektor swasta dalam penyediaan perkhidmatan RPP dan rumah tamu.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Hasnizan Harun [PN-Hulu Selangor] di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Mohd Hasnizan meminta Perdana Menteri menyatakan lokasi dan status Rumah Peranginan Persekutuan dan Rumah Tamu sedia ada serta menerangkan usaha Kerajaan untuk menambah Rumah Peranginan Persekutuan dan Rumah Tamu yang baru di seluruh Malaysia bagi meningkatkan kebajikan kepada penjawat awam terutama kumpulan sokongan.
Menurut Zaliha, jumlah keseluruhan RPP yang sedang beroperasi di dalam negara adalah sebanyak sembilan iaitu di Pulau Pangkor, Cameron Highlands, Port Dickson (dua), Tasik Kenyir, Pulau Pinang, Morib, Bukit Fraser dan Labuan.
Tambahnya, jumlah keseluruhan RPP yang sedang beroperasi di luar negara pula adalah sebanyak dua iaitu di London dan Singapura.
Katanya, jumlah rumah tamu yang sedang beroperasi di dalam negara adalah sebanyak tiga iaitu di Putrajaya, Tanjung Kupang dan Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 30/10/2024