KOTA BHARU: Sektor pendidikan dijangka terus diberi keutamaan kerajaan negeri setiap kali pembentangan belanjawan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengurangkan peruntukan sektor terbabit.
Katanya, menjadi agenda kerajaan negeri untuk memperkasakan sektor pendidikan yang mempunyai dua silibus iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
“Bajet negeri sektor pendidikan tidak turun, apa yang berlaku setiap tahun semakin naik, tambahan lagi melibatkan kenaikan gaji guru YIK.
“Belanjawan itu akan dibentangkan pada sidang DUN yang dijangka diadakan pada 21 November ini.
“Peruntukan untuk bidang pendidikan memang tinggi berbanding sektor lain, paling kurang sekarang YIK membelanjakan RM10 juta sebulan termasuk emolumen,” katanya selepas majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2023 di Dewan Besar YIK di sini hari ini. (Foto atas)
Hadir sama Timbalan Exco, Kamaruzaman Mohamad; Timbalan Pengarah YIK (Sekolah), Che Kamarudin Kamel Che Muhammad dan Ketua Operasi IWK Kelantan, Kyrul Anuar Mohd.
Wan Roslan yang juga ADUN Pengkalan Kubor berkata, kerajaan negeri menerima teguran dalam Mesyuarat Kewangan Negara kerana menyalurkan peruntukan begitu besar kepada sektor pendidikan.
“Menteri Besar memberitahu pada mesyuarat itu Kelantan ditegur kerana terlampau tinggi peruntukan kepada pendidikan dan tiada pulangan balik segera.
“Tetapi kata arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz manfaatnya untuk jangka masa panjang, jadi hari ini baru kita faham apa yang Tok Guru sebut, 30 tahun lebih baru dapat lihat hasil,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024