ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri khususnya terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas kejayaan pelancaran The Greater Kedah, Ahad lalu.
Katanya, pembentangan pelan strategik The Greater Kedah 2050 itu merupakan satu bentuk ‘the end of mind”‘ bagi melakar kemajuan negeri Kedah dan rakyat dalam dekad mendatang.
“Ia juga adalah kesinambungan daripada gabung jalin Pelan Pembangunan Kedah 2021-2035 serta prinsip ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.
“Gagasan besar ini tidak terbentuk secara bersendirian, bahkan bermula dengan titik dasar dan polisi kerajaan negeri yang jelas,” ujarnya dalam kenyataannya di sini.
Justeru kata Dato’ Ahmad, PAS Kedah yakin dasar ‘Cordoba of Kedah’ yang memayungi pembangunan insan rakyat negeri ini di pelbagai peringkat dapat dikembang serta diperkukuh seiring kemajuan ekonomi dan sosioekonominya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga yakin gagasan The Greater Kedah ini bakal membina kehebatan tamadun yang bukan sekadar dengan kemajuan infra dan data, bahkan perkembangan budaya cintakan ilmu tinggi dalam kalangan rakyat.
Ahad lalu, Menteri Besar, telah merasmikan majlis Pelancaran The Greater Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon di mana turut menampilkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi pandangan berkenaan gagasan tersebut.
Pada majlis itu, Exco Kerajaan Negeri Kedah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana The Greater Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah, mengupas secara ringkas gagasan yang disasar dijayakan dalam tempoh 25 tahun itu.
The Greater Kedah diharap dapat membina kecemerlangan, sekali gus mengembalikan semula tamadun kegemilangan lampau Kedah sebelum ini.
Oleh itu kata Dato’ Ahmad, gagasan The Greater Kedah ini akan menjadi pemandu utama bagi memastikan kemajuan seimbang duniawi dan ukhrawi selaras dengan usaha membina semula ketamadunan yang hebat dan dihormati bagi negeri ini.
“Oleh itu, PAS Kedah juga mengajak seluruh rakyat Kedah supaya bersatu mendukung gagasan ini, mudah-mudahan dengan perancangan yang teliti, cermat serta sistematik, harapan menjadikan Kedah, tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti dapat direalisasikan,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 29/10/2024