KANGAR: Hari Alam Sekitar Negara (HASN) yang diraikan pada setiap 21 Oktober adalah satu program tahunan Jabatan Alam Sekitar bertujuan mempromosi pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
Pada tahun ini, HASN peringkat negeri Perlis disambut dengan mengiktiraf komitmen sekolah-sekolah dalam peranan institusi pendidikan melestarikan alam sekitar.
Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) peringkat negeri diadakan untuk menghargai usaha institusi pendidikan yang berperanan aktif dalam menjaga kelestarian melalui pelbagai inisiatif di sekolah masing-masing.
Sekolah Kebangsaan (SK) Santan diumumkan sebagai johan bagi kategori sekolah rendah, membawa pulang hadiah RM3,000 pada sambutan yang diadakan di Ocean Glow, di sini hari ini.
Usaha berterusan pihak sekolah dalam memperbaiki landskap dan memupuk kesedaran pelajar terhadap pentingnya menjaga alam sekitar menjadikan SK Santan penerima utama anugerah tersebut.
Tempat kedua dimenangi oleh SK Oran dengan hadiah RM2,000, manakala SK Seri Perlis menerima RM1,500 sebagai pemenang tempat ketiga.
Sementara itu, SMK Dato’ Sheikh Ahmad mengungguli kategori sekolah menengah dengan membawa pulang RM3,000.
Prestasi mereka dalam melibatkan pelajar dan komuniti sekolah dalam usaha kelestarian menarik perhatian juri dan menjadikannya juara kategori ini.
HASN kali ini juga memperkenalkan program Rakan Alam Sekitar (RAS) Bersama Industri yang berasaskan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi kawalan pencemaran alam sekitar, antaranya menerusi lawatan pelajar SK Seri Perlis ke Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Kangar di Bintong.
Pelajar mempelajari teknologi kawalan pencemaran air di bawah bimbingan kakitangan Indah Water Konsortium Sdn Bhd.
HASN bukan sahaja bertujuan untuk mengiktiraf usaha kelestarian, tetapi juga untuk memastikan kualiti alam sekitar negeri ini sentiasa berada pada tahap yang terbaik bagi kesejahteraan rakyat.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Jamal Effendy Shahar berkata, semua pihak perlu merasa bertanggungjawab memelihara alam sekitar.
“Penjagaan alam sekitar bukanlah tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar semata-mata. Sebaliknya digalas bersama oleh semua pihak selaras dengan sambutan tema ‘Tanggungjawab Bersama’.
“Ia mengajak kita semua untuk bersama HASN, iaitu bersama membanteras kecurangan terhadap alam sekitar,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan. – HARAKAHDAILY 29/10/2024