KUALA LUMPUR: Pengasas tanah, Semantan Estate (1952) Sdn Bhd, Eng Lian Group dan Ng Chin Siu & Sons Rubber Estates Sdn Bhd mempertikaikan proses pengambilalihan milikan tanah kepada Kerajaan Persekutuan.
Semantan Estates memfailkan tindakan terhadap kerajaan itu kerana menceroboh, mendakwa bahawa pengambilan milikan tanah itu adalah menyalahi undang-undang dan salah pada 1989.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, beliau tidak mahu salahkan kerajaan dan sebagainya dalam perkara itu, namun sekadar ingin tahu tindakan susulan kerajaan dalam isu itu.
“Sebagaimana Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim beritahu bahawa konflik atau pertikaian ini telah berlaku 68 tahun yang lalu. Satu proses pengambilan balik tanah oleh Pejabat Tanah Kuala Lumpur, Selangor.
“Akibat daripada sedikit kesilapan pegawai dalam proses pengambilan itu menyebabkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Zura Yahya pada 2010 telah membuat keputusan bahawa kerajaan telah mengambil tanah ini secara tidak sah.
“Oleh itu, perkara itulah yang menyebabkan kerajaan menduduki tanah itu secara pemilikan yang salah,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata hakim telah mengarahkan supaya mengadakan satu penilaian kerugian kepada syarikat ini setelah berpuluh tahun ini.
“Semasa beberapa tahun yang lepas dalam kerajaan, kebetulan saya Menteri Undang-undang dan juga Menteri yang menjaga tanah pada masa itu, kita telah mendapat mandat daripada Kabinet.
“Saya rasa bukan satu rahsia untuk saya sebutkan. Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (terdahulu) dan juga seorang peguam turut berkata agar perkara ini perlu diselesaikan untuk menyelamatkan aset negara,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM5 bilion kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada masa itu untuk berunding menyelesaikan perkara ini.
“RM5 bilion, daripada RM1.4 juta, pergi kepada RM5 bilion itu diberikan oleh kerajaan tetapi proses perundingan itu masih lagi belum berjaya. Hal ini menunjukkan bahawa tuan tanah ini meminta lebih daripada itu.
“Satu penilaian dibuat, nilainya lebih kurang RM3.1 bilion tetapi tidak diterima oleh syarikat ini. Kita tawarkan RM5 bilion pun tidak boleh,” katanya.
Justeru, beliau meminta kerajaan menyatakan tindakan susulan untuk menyelesaikan masalah itu ekoran keputusan Mahkamah Tinggi 23 Oktober baru-baru ini, mengarahkan lebih 200 ekar tanah ini dikembalikan kepada Sabah Electricty Sdn Bhd (SESB).
“Tidak mungkin kita hendak meruntuhkan Masjid Persekutuan yang siap pada 2000, sebelum kes ini masuk mahkamah dan di semua peringkat mahkamah, kerajaan kalah.
“Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan sekarang ini arahan supaya mengembalikan dan melaksanakan itu. Jadi itu yang saya nak tahu dan iyalah, apakah langkah yang terbaik?” katanya.
Beliau berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan mendapat penjelasan daripada Perdana Menteri.
Dalam soalan asal, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan langkah penyelesaian kerajaan dalam kemelut Duta Enclave di Mukim Batu susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur oleh Kerajaan Persekutuan kepada Semantan Estate Sdn Bhd yang memberikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak mahu merujuk keputusan Jemaah Menteri semasa Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjadi menteri.
“Saya tidak fikir jumlah yang diberikan itu munasabah agak keterlaluan, terlalu tinggi dan ini menjadi satu duluan. Banyak tanah-tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang diambil walaupun teknikal dari segi sah itu berbeda.
“Tetapi diambil kemudian dipindah jadi komersial minggu depannya oleh exco, apakah keadaan mereka? Jadi kita jangan ada berganda standard di sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024