KUALA LUMPUR: Tatacara pengendalian piawai (SOP) bagi landskap rancangan pembangunan baharu perlu dipertimbangkan oleh kerajaan untuk diperketatkan, khususnya di kawasan hotspot berisiko di sekitar Lembah Klang.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, perkara itu juga perlu mengambil kira kajian pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah yang sedang dijalankan.
Menurutnya, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai status kelulusan projek pembangunan baharu yang ditangguhkan buat sementara waktu akibat insiden mendapan yang berlaku di Masjid India sebelum ini.
“Apakah cadangan pihak kerajaan sama ada jangka pendek ataupun jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur yang akhir-akhir ini kerap berlaku sehingga Dewan pun terpaksa ditangguh minggu lepas kerana banjir sama ada kilat ataupun tidak.
“Dari sudut kesannya akan membawa mudarat dan kesan yang besar kepada mangsa,” ujar beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dalam jawapannya berkata, selepas insiden di Masjid India, satu task force yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar telah dibentuk, melibatkan semua agensi yang berkaitan dengan pembinaan utiliti seperti elektrik, air, dan telekomunikasi.
Beliau berkata, task force itu sedang menunggu laporan penuh daripada setiap agensi untuk memastikan pembangunan baharu di Kuala Lumpur adalah seimbang dan selamat untuk penduduk dan pengunjung.
Selain itu, jelasnya terdapat pelan mitigasi komprehensif yang melibatkan tindakan bersepadu antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi penyelamat untuk menangani isu banjir kilat di Kuala Lumpur.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah rancangan Kerajaan yang sedia ada untuk menaik taraf dan menyelenggara utiliti bawah tanah di Kuala Lumpur; dan bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mengutamakan keselamatan dan kecekapan dalam projek penyelenggaraan bawah tanah. – HARAKAHDAILY 29/10/2024