KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) memberikan ucapan sinis dengan menyatakan bahawa ‘Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan setiap hari untuk mendapatkan beras tempatan’ yang sukar didapati di pasaran.
Itu respons beliau apabila celahan yang dibuat oleh Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang menyatakan bahawa beras tempatan itu ‘pelik bin ajaib’ kerana ia hanya muncul semasa jualan Madani dan PRK.
Idris berkata, daerah Kerian menyumbang sekitar 50 hingga 60 peratus daripada pengeluaran padi di Perak, tetapi beras tempatan tidak dapat ditemui di Bagan Serai, walaupun daerah itu merupakan pengeluar padi utama.
“Walaupun Kerian pengeluar padi tetapi tidak ada beras. Kami duduk dalam guni beras tetapi tidak ada beras tempatan.
“Semua orang Parlimen Bagan Serai, golongan maha kaya T15 belaka. Makan beras 5kg RM25, RM23. Kalau beras tempatan RM13 sahaja.
“Bagi kami Ahli Parlimen yang hendak memberi bantuan terpaksa digandakan daripada RM13 kepada RM23 untuk 5kg beras,” ujar beliau.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut Naib Presiden PAS itu, harga beras telah meningkat dari RM1,300 untuk 100 kampit 5 kg kepada RM2,300, yang menambah beban untuk memberi bantuan kepada rakyat, sedangkan peruntukan tidak diberikan.
Beliau berkata, meskipun Bagan Serai menyumbang 60 peratus padi di Perak, beras tempatan tetap tidak dapat ditemui di pasaran, menjadikannya satu perkara yang pelik dan tidak dapat diterima.
“Ini merupakan berita ayam makan musang. Musang makan ayam itu bukan berita. Padi ada di Bagan Serai tetapi beras tempatan tidak ada,” ujar beliau.
Menurutnya, meskipun pengeluaran padi meningkat kepada tiga hingga empat tan seekar tahun ini, beras tempatan tetap tidak ada di pasaran.
Beliau berkata, keberadaan beras import menggantikan beras tempatan menimbulkan persoalan mengenai di mana hilangnya beras tempatan dan memerlukan tindakan holistik untuk menyelesaikan masalah itu.
Beliau menyeru kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), KPDNHEP, dan Kastam untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap kawal selia padi dan beras.
Tambahnya, pihak berkuasa perlu menyiasat ke mana perginya padi tempatan dengan menunggu di kilang dan meneliti rekod penjualan.
“Kalau kita boleh trace (kesan) melalui bagaimana keadaan orang apa bawa pelari duit, orang yang simpan duit, AMLA boleh tahu berkenaan money trade dia, amat mudah untuk kita nak kendalikan penyeludupan beras.
“Saya tak nak fikir di Kuala Lumpur. Saya tak nak fikir di Ipoh, saya nak fikirnya ialah penduduk yang berada di Bagan Serai dan juga di daerah Kerian kerana (daerah) kami penyumbang 60 peratus daripada beras di negeri Perak,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024