AYER KEROH: Isu kejadian pengibaran bendera negara China yang berlaku baru-baru ini harus dilihat dari konteks kedaulatan negara dan bukannya dari sudut perkauman.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin, Ustaz Luqmaanul Hakiim Nordin berkata, tindakan tersebut adalah satu bentuk provokasi terhadap rakyat negara ini.
“Isu pengibaran bendera China di Menara Condong, Teluk Intan, semasa Sambutan Guan Gong Sedunia baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam masyarakat.
“Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin ingin menekankan bahawa ini bukanlah isu perkauman, tetapi isu kedaulatan negara yang harus dipertahankan,” katanya.
Menurut beliau, sebagai organisasi yang berpegang kepada prinsip Fiqh Kenegaraan (Muwathanah), PAS percaya menghormati kedaulatan dan sensitiviti budaya negara adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.
“Kepatuhan terhadap pihak berkuasa dan undang-undang yang ditetapkan adalah sebahagian daripada akhlak yang diajarkan dalam Islam.
“Tindakan mengibarkan bendera negara asing dalam acara yang melibatkan masyarakat tempatan adalah satu bentuk provokasi yang tidak menghormati kedaulatan negara kita,” katanya.
Beliau turut menitipkan hadis Rasulullah SAW riwayat Imam Al Bukhari yang bermaksud ‘Orang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan, saling menguatkan antara satu sama lain’.
“Kita perlu bersatu untuk mempertahankan maruah dan identiti negara kita. Kami menyeru semua pihak untuk menjaga sensitiviti dan perpaduan dalam masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama membina negara yang harmoni dan saling menghormati, tanpa mencetuskan provokasi yang tidak perlu. Kedaulatan negara adalah tanggungjawab kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024