Kelantan wujudkan Skim Bantuan Pesakit Kanser Payudara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mewujudkan Skim Bantuan Pesakit Kanser Payudara Kelantan dengan menyediakan sebanyak RM500 secara one off kepada pesakit yang layak.

- Advertisement -

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata inisiatif itu bagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap pengidap kanser payudara.

“Sudah tentulah, jumlah ini jauh dari mencukupi, tetapi ianya adalah sebagai ketandaan kecaknaan kerajaan kepada rakyat kita yang diuji sekadar yang kita mampu.

“Peruntukan negeri tidak banyak, namun kita harap dengan adanya berkat, maka Allah akan cukupkannya, bak kata orang, banyak tanda ada sikit tanda ingat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara sempena Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Ustaz Abdul Rahman Yunus yang mewakili Exco, Hilmi Abdullah.

Rohani merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas berkata sejak 2023, pihaknya menyediakan dana RM250,000 kepada program saringan kesejahteraan payudara.

Beliau berkata, ia dilakukan kerjasama Unit Kesedaran dan Penyelidikan Kanser Payudara (BesTARi), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA).

Bahkan, ujarnya kerajaan negeri pada tahun ini terus konsisten memupuk kesedaran dan pengesanan awal dengan menyalurkan peruntukkan sebanyak RM500,000 di bawah inisiatif Bantuan Kanser Payudara.

Menurut beliau lagi, dana tersebut digunakan bagi melaksanakan program advokasi, seminar kesihatan, kempen kesedaran dikalangan masyarakat serta skim bantuan kepada penduduk di negeri itu.

“Pada tahun ini juga, kita berkolaborasi dengan dengan 10 Pejabat Kesihatan Daerah Kementerian Kesihatan Malaysia, BesTari HPUSM, PAPISMA dan Pusat Perubatan An-Nisa’.

“Selain itu ini juga dibuat dengan kerjasama dari pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri kita ini, yang selari dengan hasrat dan tujuan yang kita buat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -