KOTA BHARU: Kerajaan negeri menasihatkan rakyat agar mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai kanser payudara daripada pengamal perubatan bukannya menerima pandangan ‘pakar’ tidak bertauliah.
Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, pihaknya dilaporkan penyakit terbabit terus meningkat dalam masyarakat hari ini.
Beliau berkata, ada segelintir masyarakat menyebarkan maklumat tidak benar atau dakyah serta mitos perubatan bagi menangani penyakit yang menjadi antara pembunuh utama kaum wanita itu.
“Sesetengah orang kita ini gelagat, cakapan dia mengenai penawar penyakit ini dia lebih hebat daripada doktor pakar lagi, semua ini tidak boleh dengar, kena ikut nasihat doktor juga.
“Kerana benda ini kepakaran dia, seperti juga ilmu dalam agama, kena ikut daripada orang yang belajar agama tidak boleh dengar daripada orang yang belajar sesetengah sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara sempena Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) di Hotel Grand Renai di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh itu turut mencadangkan HSK agar turut menjemput suami bagi menyertai Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara diadakan setiap bulan Oktober.
Beliau berkata, menangani penyakit kanser payudara memerlukan kerjasama semua pihak khusus suami masing-masing yang memberi sokongan secara moral kepada isteri mengidap penyakit itu.
“Saya nak cadangkan, HSK ini diteruskan tetapi nak minta jemputan ini bersama suami, pasal kita duduk dengar kita sahaja tahu tetapi suami buat tidak tahu penyakit yang dihadapi isteri.
“Berkahwin sudah lama, yang kita bagitahu dia buat tidak endah mana pun, kena orang lain bagitahu kepada dia, orang dalam perubatan, keluarga suami kena layan dia, ini lebih penting,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, nisbah pesakit kanser payudara negara ini meningkat terus bermula lima tahun lepas, dengan seorang daripada 23 wanita berisiko mendapat penyakit itu.
Ketua Perkhidmatan Surgeri Payudara dan Endokrin, Dato’ Dr Imi Sairi Ab Hadi berkata, ia meningkat, berbanding nisbah seorang daripada 27 wanita direkodkan berisiko mendapat kanser sebelum 2020.
Katanya lagi, dalam tempoh lima tahun ini juga, pihaknya mendapati hampir separuh pesakit hadir mendapatkan rawatan ketika kanser yang dihidapi sudah berada pada tahap tiga dan empat.
Penghidap tahap satu dan dua mempunyai peluang hidup lebih tinggi sehingga 90 peratus, berbanding tahap tiga dan empat, hanya 20 peratus dapat bertahan dalam tempoh lima tahun selepas rawatan. – HARAKAHDAILY 29/10/2024