KOTA BHARU: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tapak pengumpulan kitar semula yang terbakar di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa Jalan Padang Tembak mencatat IPU 46 semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, bacaan IPU sebelumnya 20 hingga 40.
“Alhamdulillah, setakat pagi semalam bacaan IPU dalam jarak 5 km radius di sekitar kawasan bencana masih terkawal dengan bacaan sekitar 20-40,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Terdahulu beliau meninjau lokasi terbakar di stor penyimpanan barangan kitar semula.
Turut hadir Timbalan Pengarah JAS Kelantan Mohamad Zamzani Ibrahim dan pegawai perlesenan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Hilmi juga berkata, JAS membuat pemantauan berkala bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar sentiasa selamat dan terjaga.
Pada Ahad lepas sebuah kilang kitar semula di Jalan Padang Tembak, terbakar.
Menurut laporan media kebakaran melibatkan bahan sisa pepejal seperti getah, PVC dan plastik yang menyebabkan api merebak dengan cepat.
Lima jentera dan empat lori tangki syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) digunakan bagi membantu memadam kebakaran.
Kawasan yang terbakar seluas 1.5 ekar dan longgokan sisa pepejal mencapai ketinggian tiga hingga empat meter yang menyukarkan operasi pemadaman. – HARAKAHDAILY 29/10/2024