Gagal jawab definisi T15 bukti kegagalan ekonomi Kerajaan Madani

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kegagalan Perdana Menteri menjawab definisi T15 adalah bukti kegagalan ekonomi Kerajaan Madani.”

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, pengenalan istilah T15 telah mencetuskan pelbagai reaksi dan persoalan dalam kalangan rakyat negara ini.

- Advertisement -

“Persoalan berkenaan definisi T15 yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 semakin terserlah kecelaruannya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri dalam Parlimen Malaysia pada hari ini gagal dijawab dengan baik oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook PAS Selangor hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri telah membayangkan bahawa  T15 adalah golongan 15 peratus yang berpendapatan tertinggi di Malaysia.

Zurk menegaskan, golongan tersebut merujuk kepada isi rumah yang memperoleh pendapatan RM13,000 ke atas.

“Namun, ada yang berpendapat ia sepatutnya merangkumi T3 dalam kategori T20 atau mereka yang berpendapatan sekitar RM23,722 ke atas.

“Persoalan yang timbul bukan sekadar definisi tetapi juga asas yang digunakan dalam melakukan klasifikasi ini.

“Beberapa ahli ekonomi mempersoalkan kebergantungan kepada data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikatakan mungkin tidak relevan dalam situasi semasa.

“Menteri Ekonomi juga menyatakan bahawa kajian lanjut akan dijalankan untuk memastikan pendapatan boleh guna sebagai asas pengkelasan, namun ini mencetuskan kekeliruan baharu mengenai golongan berpendapatan rendah yang berjimat mungkin kelihatan lebih ‘kaya’ berbanding mereka yang berpendapatan tinggi namun berbelanja besar. 

“Tambahan pula, ada cadangan bahawa hanya pendapatan suami (Ketua Isi Rumah) yang sepatutnya dikira namun ini juga memiliki kebaikan dan kelemahan.

“Di tengah kecelaruan ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara tiba-tiba menyebut istilah T10 pula sebagai penanda aras baharu yang akan menambah kepada persoalan sama ada pengkelasan T15 ini akan diteruskan atau diubah lagi.

“Sekiranya dasar T15 atau T10 digunakan untuk mengurangkan subsidi kepada mereka yang dikategorikan sebagai berpendapatan tinggi, maka sesetengah isi rumah yang berada di sempadan kategori-kategori mungkin akan mengalami peningkatan kos sara hidup secara mendadak terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan berpendapatan tinggi tetapi berdepan kos sara hidup yang juga tinggi,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Zurk menyatakan bahawa rakyat pada masa ini tertanya-tanya mengenai sejauh mana dasar sebegini akan kekal konsisten dan benar-benar mewakili situasi semasa.

“Kecelaruan dalam pengkelasan pendapatan ini boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan untuk menggubal dasar ekonomi yang kukuh dan konsisten.

“Kita harap Kerajaan Madani dapat menoktahkan kecelaruan yang menimbulkan spekulasi berbahaya ini dalam sesi Parlimen Malaysia pada November ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024