CCTV pangsapuri kuarters Putrajaya belum diselenggara

Dr Mohd Radzi Md Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebanyakan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang oleh persatuan penduduk di pangsapuri kuarters penjawat awam Putrajaya masih tidak diselenggara.

- Advertisement -

Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berkata, beliau mencadangkan agar Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) mengambil satu pendekatan memasang di semua tempat dan dimasukkan sebagai aset dan diselenggara secara berterusan.

“Kalau tidak nanti bila rosak ia akan habis macam itu, dan kementerian pun telah jelaskan tadi antara perkara-perkara keselamatan yang timbul kerana ketiadaan CCTV.

“Nak guna lif yang ada CCTV dalam lif ini amat terhad, jadi saya mohon kementerian untuk melihat segera isu ini, kalau boleh berikan jangka masa pelaksanaannya,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan isu kuarters kerajaan yang kosong dan terbiar di Putrajaya.

“Sedangkan yang menunggu untuk masuk kuarters ni senarainya amat panjang, jadi mengapakah kerajaan mengambil tempoh yang terlalu lama utnuk membaiki kuartes ini dan menyiapkan supaya dapat diduduki?

“Selain itu, terdapat permintaan dalam kalangan ibu bapa di Putrajaya khususnya yang tinggal di kuarters adalah untuk menubuhkan taska dan tadika kerajaan di kawasan berdekatan.

“Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menggunakan premis-premis kerajaan yang sedia ada sama ada di kuarters ataupun di kawasan berhampiran untuk dijadikan taska atau tadika,” katanya.

Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk menyatakan status cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua pangsapuri kuarters penjawat awam Putrajaya di bawah kendalian Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) serta penyenaraian CCTV sebagai sebahagian daripada aset berdaftar yang perlu diselenggara pengurus fasiliti bawah Perbadanan Putrajaya bagi meningkatkan keselamatan penduduk.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kementeriannya melalui BPH sedang mempertimbangkan cadangan pemasangan CCTV di dalam kawasan Kuarters Penjawat Awam terutamanya pangsapuri untuk dilaksanakan secara berperingkat.

“Kesemua lif kuarters akan dipastikan lengkap dengan CCTV memandangkan lif merupakan kawasan paling sensitif kepada vandalisme, jenayah dan juga kecelakaan dalam premis berstrata,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -