Berjimat jangan sampai abai keperluan rakyat

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, Allah SWT menguji apabila mereka membelanjakan harta tidak berlebihan dan tidak pula kedekut, tetapi berada dalam perjalanan yang pertengahan.

- Advertisement -

Beliau memetik ayat ke-67 Surah Al-Furqan yang merujuk kepada golongan hamba Allah yang mulia yang memiliki sifat keseimbangan dalam perbelanjaan.

“Para mufasir seperti Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini mengajarkan prinsip pengurusan kewangan yang adil dan bijaksana,” ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembaziran dikritik keras kerana ia menandakan kegagalan menguruskan nikmat Allah, manakala kedekut pula menunjukkan kezaliman terhadap diri sendiri dan orang lain yang memerlukan.

“Ayat ini sangat relevan dalam konteks pengurusan kewangan negara dan mengingatkan kita untuk menguruskan perbelanjaan negara dengan seimbang dan tidak terlalu boros dalam projek yang tidak memberikan manfaat nyata.

“Pada masa yang sama tidak terlalu berjimat sehingga mengabaikan keperluan rakyat,” katannya.

Beliau berkata, pembaziran atau ketidakadilan dalam perbelanjaan awam akan membawa kepada ketidakstabilan sosial manakala pengurusan yang bijak akan memastikan keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

“Selain itu kita boleh mengamati pesanan dalam ayat suci yang lain dalam konteks amanah termasuk dalam pengurusan kewangan negara dalam Surah An-Nisa ayat ke-58,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024