Belanjawan 2025 tak sentuh isu saham MAHB-BlackRock

Malaysia berisiko terpalit langgar hak asasi manusia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan terdedah dan terpalit dengan pelanggaran hak asasi manusia khusus kepada rakyat Paletin yang sedang dizalimi oleh rejim Israel.

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menegaskan, hujahnya itu berasas laporan dibangkitkan oleh pakar UNHCR di mana menyeru setiap negara dan syarikat mesti menggantikan syarikat yang terlibat penghantaran senjata ke Israel.

Beliau membangkitkan mengenai penjualan saham kepada BlackRock Inc iaitu sebuah syarikat yang didakwa terlibat dalam pelaburan menyokong Israel di mana isu ini menimbulkan kontroversi kerana ia melibatkan konflik moral dan politik.

Kalangan rakyat Malaysia ujar Ahmad Tarmizi, majoritinya menolak penjajahan Israel ke atas Palestin, namun dalam Belanjawan 2025, tiada penjelasan diberikan mengenai langkah kerajaan untuk mengkaji semula keputusan tersebut.

“Atau memastikan bahawa pelaburan kerajaan tidak terlibat dengan syarikat yang menyokong penindasan terhadap rakyat Palestin. Kegagalan untuk menguruskan isu ini dengan jelas menimbulkan kekecewaan dalam kalangan rakyat.

“Terutamanya mereka dan seluruh kita yang bersama dalam perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini hari ini.

Jelas beliau negara atau syarikat terbabit boleh serta merta menghadapi risiko tanggungjawab bagi pelanggaran hak asasi manusia di mana dalam laporan UNHCR juga telah menyatakan dengan jelas syarikat-syarikat berkaitan.

Di mana petik beliau, telah membekalkan senjata kepada Israel termasuk syarikat Lockheed Martin yang mempunyai hubungan langsung dengan BlackRock selaku juga syarikat yang menguasai Global Infrastructure Partner (GIP).

Parlimen Israel juga kongsinya, pada kelmarin telah meluluskan usul untuk menutup ataupun untuk menghentikan operasi UNRWA iaitu pertubuhan bagi pelarian Palestin, sedangkan ianya adalah talian hayat kepada rakyat di Gaza.

“Saya mencadangkan untuk kita di Parlimen Malaysia ini juga membuat usul khas bahawa kita akan memastikan bahawa UNRWA ini yang diselia oleh United Nation akan terus berfungsi sebagai satu badan antarabangsa yang sah.

“Untuk terus mereka bekerja membantu dan memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang sedang kebuluran, yang mereka setiap hari sama ada mati kerana tidak ada makanan ataupun dibom oleh rejim Israel,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -
- Advertisement -