KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan memandang serius persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi berkenaan persoalan status kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pemimpin atasan DAP Selangor.
Setiausahanya, Aubidullah Fahim berkata, satu laporan telah dibuat sebelum ini kepada pihak SPRM, namun sehingga kini, status penyiasatan kes masih tidak jelas sehingga menimbulkan kegusaran rakyat.
“Adakah kerajaan Madani tidak serius menangani isu salah guna kuasa sekiranya ia melibatkan kawan sendiri? SPRM juga perlu memberikan pencerahan, apakah dakwaan salah guna tersebut berasas atau tidak?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Kerajaan Madani perlu selari dengan komitmen untuk membanteras rasuah dan penyelewengan yang berlaku.
“Kerajaan mahupun SPRM perlu memberikan penjelasan sebenar agar rakyat tidak membuat spekulasi, lebih-lebih lagi apabila pemimpin DAP yang didakwa menyalah guna kuasa ini dilantik pula menjadi Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang,” katanya lagi.
Justeru, beliau menyatakan, demi sebuah keadilan, Dewan Pemuda PAS Selangor senada dengan desakan Ahli Parlimen Kuala Langat itu untuk mendapatkan jawapan dan penjelasan daripada pihak kerajaan dan SPRM dalam perkara ini.
“Semoga penambahan peruntukan SPRM kepada RM360 juta pada tahun 2025 ketimbang RM338 juta pada tahun ini, dapat memastikan penguatkuasaan terhadap rasuah dapat diperkasa,” katanya.
Terdahulu, seorang pemimpin DAP Selangor yang pernah menjawat jawatan Pengerusi JawatankuasaTetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru didakwa telah menyalah guna kuasa dengan menggunakan dana pusat khidmat parti untuk tujuan kegunaan peribadi. – HARAKAHDAILY 29/10/2024