AirAsia kenakan caj fi karbon mandatori bermula 1 Jan 2025

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: AirAsia akan mengenakan caj fi karbon secara mandatori kepada semua penumpangnya bermula pada 1 Januari 2025, kata Menteri Pengangkutan.

- Advertisement -

“Bagi syarikat penerbangan lain, MAVCOM masih belum menerima sebarang pengesahan berhubung rancangan mereka untuk pelaksanaan caj fi karbon secara mandatori kepada penumpang,” ujarnya dalam dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin [PN-Jerantut] di Dewan Rakyat, semalam.

Khairil Nizam dalam soalannya meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah perincian pindaan kepada Malaysian Aviation Consumer Protection Code 2016 (MACPC) berkenaan caj levi karbon syarikat penerbangan.

Beliau juga ingin tahu perkembangan terkini kepada kutipan caj levi karbon syarikat penerbangan yang telah diperkenalkan seawal April tahun ini.

Menurut menteri itu lagi, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menambah baik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (Malaysian Aviation Consumer Protection Code – MACPC) dengan memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap hak pengguna dalam industri penerbangan termasuk pengenaan caj levi karbon.

Tambahnya, Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2024 telah diwartakan pada 30 Ogos 2024 dan berkuatkuasa 1 September 2024.

Katanya, pindaan kepada MACPC berkaitan peruntukan untuk fi karbon adalah syarikat penerbangan dikehendaki untuk menerbitkan harga terangkum apabila mengiklankan sesuatu tambang penerbangan termasuk apa-apa fi dan caj yang dikenakan ke atas pengguna seperti fi karbon;

Di samping itu juga, katanya peruntukan itu juga menetapkan kewajiban bagi syarikat penerbangan untuk menzahirkan harga muktamad tambang penerbangan yang perlu dibayar sebelum pembelian tiket oleh pengguna termasuk apa-apa fi dan caj yang dikenakan ke atas pengguna seperti fi karbon;

Selain itu, ujarnya penambaikan MACPC ini juga menetapkan kewajipan bagi syarikat penerbangan untuk membayar balik surcaj bahan api, cukai, fi, dan caj yang dikenakan oleh kerajaan atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis termasuk apa-apa fi dan caj yang dikenakan ke atas pengguna seperti fi karbon.

“Bagi tujuan memastikan akauntabiliti dan ketelusan syarikat penerbangan dalam pelaksanaan caj fi karbon, MAVCOM akan menetapkan keperluan bagi syarikat penerbangan untuk mengemukakan laporan berkaitan kutipan fi karbon dan penggunaan fi tersebut. Keperluan ini merupakan sebahagian daripada pindaan MACPC.

“Pada ketika ini, caj fi karbon dilaksanakan secara sukarela ke atas pengguna oleh Malaysia Airlines (MAB) melalui MAG Passenger Voluntary Offset Programme kepada penumpang bermula 15 Jun 2023, berpandukan kepada dokumen IATA Recommended Practice (RP) 1726,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -