Adakah kerajaan telah kaji untuk mansuh akta-akta zalim?

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] semalam meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah Kerajaan telah mengkaji keperluan untuk memansuhkan akta-akta zalim seperti mana yang dijanjikan dalam Manifesto PRU-15 Pakatan Harapan misalnya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang terus diguna pakai hari ini.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan soalan itu pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis menyatakan selaku kementerian yang menerajui aspek keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam sentiasa komited dalam mengkaji dan menambahbaik semua undang-undang di bawah kawal selia kementerian dan akan terus menyokong reformasi negara berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai.

KDN, katanya telah melaksanakan satu kajian bagi menilai sama ada pindaan terhadap Akta Hasutan perlu dibuat supaya ianya seiring dengan peredaran masa bagi menangani isu melibatkan pelanggaran daripada elemen 3R (race, royalty dan religion).

Tambahnya, bagi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ianya merupakan akta di bawah kawal selia Kementerian Komunikasi.

Katanya lagi, pindaan berhubung akta tersebut sedang diperhalusi oleh Kementerian Komunikasi sebagai langkah memperbaiki aspek keselamatan dan rangkaian susulan peningkatan penggunaan dan kebergantungan orang ramai terhadap perkhidmatan digital.

“Bagi AMCP 19, libat urus telah dilaksanakan bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan.

“Perkara tersebut sedang diperhalusi di peringkat kementerian dan akan dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk persetujuan dalam masa terdekat,” ujar KDN lagi. – HARAKAHDAILY 29/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!